Latest News

Monday, August 24, 2015

Merdekakan Perlembagaan Negara dari Sistem Penjajah

Penting mendapat kuasa pemerintahan sekurang-kurangnya simple majoriti di Parlimen tetapi apakah asas pembentukan kuasa itu?
  UMNO/Barisan Nasional (BN) sudah tidak boleh dipercayai untuk mentadbir negara ini dengan slogan nasionalismenya, perjuangan bangsa, agama dan negara kerana ia hanya menjadi slogan retorik untuk meraih undi dalam pemilihan parti itu dan dalam pilihan raya semata-mata untuk memenangi hati orang ramai.
  Parti-parti pembangkang diharapkan dapat mengambil alih tugas BN dalam pilihan raya umum ke 14 nanti apabila diberi mandat oleh rakyat.
  Tetapi apakah asas pemerintahan negara yang mahu dilaksanakan oleh parti-parti pembangkang? Apakah liberalisme, nasionalisme seperti UMNO, sosialisme atau lain-lain?
  Atau ia masih kabur, parti-parti pembangkang masih mencari-cari asas untuk meletak masa depan rakyat dan negara ini lebih cemerlang dalam semua hal, jauh lebih baik dari pemerintahan BN.
  Penulis tidak nampak apa asas sesungguhnya difikirkan relevan oleh parti-parti pembangkang untuk memenuhi aspirasi rakyat bebas dari belenggu UMNO/BN.
  Ya benar, rakyat mahukan ketelusan dalam tadbirurus negara, tanpa rasuah, pentadbiran adil kepada semua pihak, undang-undang yang memberi keadilan kepada semua termasuk orang yang dihukum bersalah dan berbagai perkara lain lagi.
  Katakan, Perlembagaan Persekutuan menjadi asas pentadbiran demokrasi berparlimen negara, segala tindak tanduk rakyat dan kerajaan mestilah berasaskan kepadanya.
  Jika ini asasnya kenapa BN tidak berupaya mempamerkan keluhuran perlembagaan setelah lama memerintah negara sejak merdeka, sudah lebih dari 50 tahun?
  Semakin hari corak pemerintahan semakin merosot dan terakhir negara dibebani hutang mencecah beratus billion ringit dengan Presiden UMNO sebagai Perdana Menteri Malaysia.
  UMNO yang mahu menjaga ketuanan Melayu semakin hari menjadikan orang Melayu sebagai hamba untuk mengaut harta negara untuk pemimpin mereka, lebih teruk dari harta rampasan perang dan demi mengekal survival parti itu yang diibaratkan sebagai  'hidup segan mati tak mau'.
  Parti itu pernah matipun satu ketika dahulu dan sejarah tidak pernah menipu manusia sekali-kali.
Justeru, apakah perlembagaan boleh ditafsirkan sesuka hati menurut dasar parti pemerintah? Jika nasionalisme menjadi teras kerajaan BN maka perlembagaan ditafsir mengikut tafsiran nasionalisme.
  Begitulah sebaliknya jika sosialisme, liberalisme, sekular prograsif dan lain-lain diangkat menjadi fahaman pemerintah negara, apakah semua itu  bersesuaian atau perlembagaan negara boleh sesuka hati ditafsirkan menurut kehendak pemerintah sebab kuasa di tangan mereka setelah rakyat mengizinkan mereka berkuasa?
  Atau perlembagaan itu perlu dipinda mengikut kesesuaian dan kehendak parti pemerintah?
  Jika ini boleh dibuat, di saat diperlukan maka takrifan mengenai, ketelusan, tadbirurus negara yang baik, rasuah, salahguna kuasa dan keadilan undang-undang mestilah dinilai dengan tepat, rasional, sesuai dengan sifat fitrah manusia yang serba kekurangan.
  Jika tidak, perlembagaan negara boleh ditafsirkan sewenang-wenang bahkan boleh diperalatkan untuk menjayakan sesuatu cita-cita pihak yang berkuasa sama ada dengan sokongan rakyat atau tidak sebagaimana dilakukan oleh BN selama ini.
  Penulis percaya ia tidak mustahil boleh dilakukan oleh parti-parti lain ketika mereka memerintah.
  Tanpa prajudis, sudah pasti ada kelemahan yang termaktub dalam perlembagaan negara kerana ia ciptaan manusia yang serba kekurangan.
  Dengan sebab kelemahan inilah negara menghadapi kemelesetan segala-galanya di bawah BN.
  Negara perlu diubah dari segala bentuk termasuk Perlembagaan Negara. Negara perlu dimerdekakan dari sistem penjajah Inggeris kepada sistem Islam yang syumul mendapat jaminan rahmat untuk sekalian alam dari Allah SWT.

Thursday, August 20, 2015

Agenda PAS: Ikhlas dalam perjuangan

Memang PAS bersikap terbuka untuk menerima siapa sahaja yang mahu menjadi ahli. Tetapi jangan ada pihak tertentu mengambil kesempatan merancang agenda kumpulan mereka di dalam PAS.
  Ini satu tindakan yang merugikan banyak pihak dan membuang masa dan ia adalah satu perbuatan yang merugikan perjuangan Islam itu sendiri. PAS dijadikan platform untuk mengatur agenda pihak tertentu di luar parti itu sehingga mengabaikan dasar dan matlamat perjuangan PAS.
  Ahli PAS juga bersikap terbuka apabila golongan yang mencari kesempatan ini dilihat di peringkat awalnya, jujur pada zahirnya untuk berkhidmat dengan PAS sebagai wakil rakyat, pemimpin di mana-mana peringkat sekalipun.
  Tetapi sayangnya ahli PAS akhirnya dapat menghidu tindakan licik mereka dan apabila rancangan mereka tidak berjaya menguasai pucuk pimpinan parti, mulalah mereka buat hal (onar).
  Ada di kalangan mereka berpuluh tahun berjuang dalam PAS. Dengan kegagalan itu mulalah mereka bercakap untuk menunjukkan bahawa sikap dan perjuangan mereka berbeza dengan kepimpinan parti dewasa ini.
  Yang lebih parahnya lagi, ada yang mendakwa perjuangan mereka baru bermula. Selama ini berpuluh-puluh tahun mereka duduk di dalam PAS, ia bukan dinamakan perjuangan. Penulis tidak pasti apakah yang hendak dikategorikan masa yang diambil mereka begitu lama di dalam PAS jika ucapan mutakhir itu diambilkira.
  Ini gara-gara kepimpinan mereka ditolak dalam PAS. Ia disifatkan sebagai satu penapisan saf kepimpinan, ditapis oleh ahlinya sendiri melalui pemilihan dalam muktamar PAS yang lalu. Mereka akhirnya menubuhkan kumpulan baru yang bagi saya ia hanya baru pada namanya sahaja tetapi pada hakikat nya mereka adalah satu kelompok ahli politik yang sudah lama mempunyai wadahnya sendiri di luar PAS.
  Mereka ada usrahnya sendiri, agenda kerja, dan program mereka sendiri walaupun mereka menjadi ahli PAS dan menjadi saf kepimpinan parti pada waktu yang sama. Memang kehadiran mereka dalam PAS diraikan melalui ucapan-ucapan dasar muktamar oleh Presiden PAS, al-Marhum Datuk Fazdhil Mohd Noor dalam ruang lingkup komitmen mereka mesti diberi kepada agenda dan dasar perjuangan parti bukan membawa agenda jamaah lain ke dalam PAS.
  Bagi saya, kesilapan di sini ialah berlakunya 'conflict of interest', (percanggahan kepentingan) menyebabkan timbulnya rasa tidak senang hati mereka terhadap pucuk kepimpinan parti.
  Agenda luar parti yang tidak selari dengan keputusan parti, menjadi halangan kenapa mereka tidak boleh mencari alternatif untuk menubuhkan kumpulan bagi melangsungkan agenda mereka kononnya untuk meraih kuasa yang menjadi agenda penting dalam perjuangan mereka.
  Sejarah Islam apabila Khalid Ibnul Walid r.a. digugurkan sebagai panglima perang oleh Khalifah Umar Ibnul Khattab r.a., Khalid tetap beristiqamah kekal dalam jamaah Islam, tidak menjadi panduan mereka.
  Ada di kalangan kelompok yang kecewa ini yang dulunya bercakap, perbezaan pendapat dalam parti tidak menjadi satu kesalahan tetapi jangan tubuh parti baharu.
  Ambillah pengajaran apa yang berlaku di Indonesia, parti-parti Islam cukup banyak tetapi tidak berupaya menghantar seorang presiden pun untuk memerintah negara itu.
  Inilah cakap-cakap mereka sebelum ini tetapi air ludahan mereka itu kembali ditelan dengan rancangan penubuhan parti baharu tidak lama lagi untuk menandingi PAS.
   Al-Marhum Datuk Fazdhil Mohd Noor menyelar sikap kepimpinanan seperti ini yang disifatkan sebagai mempunyai agenda 'Hubbuz Zat' (kepentingan diri) mahu kekal menjadi kepimpinan tertinggi lebih dari kepentingan perjuangan Islam dan kesatuan ummah sehingga sanggup menubuhkan jamaah lain bagi menandingi PAS sebagai gerakan Islam yang sedia ada di bumi Malaysia ini.
  Feqah perjuangan politik Islam ada yang tetap dan ada yang boleh berubah mengikut perkembangan semasa (waqi').
  Agenda perlaksanaan syariat Islam, suatu yang sudah lama diperjuangkan oleh PAS, diperjuangkan sebelum adanya Pakatan Rakyat (Pakatan) dan ia telah berjaya dijadikan enakmen atau undang-undang di Kelantan dan di Terengganu.
  Tinggal lagi untuk dapat diadaptasikan, dilaksanakan dalam masyarakat di kedua-dua negeri tersebut, perlulah diusahakan bersungguh-sungguh oleh kedua-dua kerajaan negeri berkenaan bagi melihat dan merasai kesan dari undang-undang syariah tersebut.
  Agenda ini hanya membabitkan orang-orang Islam sahaja tidak membabitkan orang bukan Islam.
  Tidak wajarlah kepimpinan PAS berkomperomi dengan mana-mana pihak untuk menggagalkan rancangan perjuangan parti ini.
  Justeru, senario ini menghantui mereka yang tidak terpilih dalam pemilihan pucuk kepimpinan parti dalam muktamar yang lalu, sehingga akhirnya terserlah sikap mereka dan terbentuklah kumpulan hasil dari ketidakpuasan hati mereka tersebut.
  Bagi saya, dunia ini tidak pernah lekang dengan sejarah gerakan Islam dan perjuangan politik. Kejayaan dan kegagalan dalam perjuangan mereka terdahulu perlulah diambil iktibar sewajarnya sebelum mereka terus mengatur langkah perjuangan sehingga akhir hayat mereka.
  Dalam persoalan kritikal ini penulis suka memetik sepotong hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud, "Jika sesiapa mendapati ada sesuatu yang tidak disenangi berlaku kepada seseorang pemimpin (amir), maka bersabarlah, sesungguhnya sesiapa yang keluar dari jamaah walaupun sejengkal, kemudian dia mati, maka matinya adalah mati dalam keadaan jahiliyyah."

Sunday, August 16, 2015

Zahid dakwa pembesar UMNO terbabit guling kerajaan Najib

26 ahli Parlimen BN terbabit konspirasi gulingkan kerajaan

Laporan dari The Rakyat Post menyatakan bahawa Zahid berkata pemimpin Umno yang didakwa berhasrat bergabung dengan anggota Parlimen pembangkang untuk menggulingkan kerajaan, akan bertemu Najib jam 6 petang ini (semalam).

KUALA LUMPUR, 16 Ogos:

Seramai 26 ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dikatakan terlibat dalam konspirasi untuk menggulingkan kerajaan yang didalangi oleh pembesar Umno.

Menurut sumber, pembesar Umno berkenaan memainkan peranan menyediakan tujuh muka surat akuan bersumpah untuk mempengaruhi 87 ahli Parlimen pembangkang dan 26 ahli Parlimen BN.

“Kritik dalam parti tidak apa tetapi sebagai pembesar Umno apa yang dia buat itu sangat kurang ajar,” katanya ketika dihubungi The Rakyat Post.

Menurut sumber terbabit, pembesar Umno itu dikatakan telah menghubungi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selepas Naib Presiden Umno itu mendedahkan konspirasi tersebut pada Sabtu.

“Sebenarnya bukan Datuk Seri yang nak bawa jumpa, disebabkan pendedahan yang dilakukan sebelum ini mereka telah menghubungi TPM dan meminta untuk mengaturkan satu perjumpaan dengan PM.

“Mereka dikatakan menyesal dan ingin memohon maaf atas tindakan yang dilakukan sebelum ini.

“Kemungkinan Datuk Zahid sendiri akan bawa pembesar Umno tersebut berjumpa dengan Najib petang ini. Jadual hari ini pagi di Tampin, petang di Jempol dan malam di Lumut. Mungkin jumpa selepas program di Jempol,” katanya.

Bagaimanapun, sumber tidak pasti lokasi pertemuan tersebut.

Zahid ketika berucap merasmikan Mesyuarat Umno Bahagian Ampang, pada Ahad mendedahkan terdapat gerakan yang disusun bertujuan menjatuhkan kerajaan sedia ada yang turut melibatkan pemimpin Umno-BN.

Ketika merasmikan mesyuarat perwakilan Umno Bahagian Tampin pagi tadi, Zahid berkata pemimpin Umno yang didakwa berhasrat bergabung dengan anggota Parlimen pembangkang untuk menggulingkan kerajaan, akan bertemu Najib jam 6 petang ini.

Tambah sumber, beliau difahamkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar telah berjumpa dengan Zahid jam 7 pagi tadi bagi membincangkan perkara itu dan seterusnya mengeluarkan waran tangkap sekiranya terdapat bukti kukuh.

Jangan biarkan negara di hujung tanduk

UMNO menggelabah apabila Presidennya Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak  dilihat mempunyai pelbagai masalah berkait dengan kredibiliti dan politik.

Kredibilitinya dipertikai apabila skendal 1MDB dan sejumlah RM2.6 billion dimasukkan ke dalam akaun peribadinya ketika beliau menjadi Presiden UMNO dan Perdana Menteri Malaysia.

Terbaru Perwakilan Pemuda UMNO Tampin Negeri Sembilan sebulat suara menyokong usul tergempar menggesa Najib meletak jawatan sebagai Presiden parti itu dan Perdana Menteri Malaysia.

Sebelum itu Timbalan Presidennya, Tan Sri Muhyidin Yassin mengkritik secara terbuka soal urus tadbir 1MDB dan dana yang didakwa sebagai derma itu, dimasukkan ke dalam akaun bank Najib sebelum Pilihanraya Umum ke 13 yang lalu.

Lalu dengan tindakan beraninya itu menyebabkan beliau digugurkan dari kabinet terbaru Najib, sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Tidak diketahui apa tujuan sebenarnya wang itu dimasukkan ke dalam akaun bank Najib, ada dakwaan dikatakan untuk tujuan pilihanraya umum berkenaan.

Justeru, satu saman atau tindakan undang-undang telah dikemukakan oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) terhadap Najib berkait dengan wang RM2.6 Billion itu.

Ahli-ahli UMNO terasa rimas dengan isu yang berlegar di sekitar presiden mereka lalu meluahkan kritikan dalam mesyuarat bahagian termasuk di Langkawi Kedah.

Seorang wanita Umno bahagian tersebut meluahkan rasa geramnya terhadap Najib dengan mendakwa presiden mereka telah kencing tiga juta ahli UMNO berkait dengan isu berkenaan.

Banyak bahagian UMNO telah menunjukkan sikap tidak senang dengan tindak tanduk Najib dalam menangani isu berkenaan.

Sikap yang ditunjukkan oleh perwakilan UMNO itu menunjukkan bahawa Najib bukanlah satu-satunya presiden parti yang tidak boleh dikritik secara terbuka dalam mesyuarat agung mereka.

Jika perwakilan UMNO merasakan ada perkara yang tidak kena dilakukan oleh pucuk pimpinanan, mereka berani bersuara untuk menyatakan bantahan mereka terhadap apa yang dilakukan.

Bagi mereka, kepimpinan Najib sudah sampai ke penghujungnya dan mereka mendesak supaya beliau berundur secara terhormat.

Siapakah yang akan menggantikan Najib jika dia meletak jawatan dalam masa terdekat, ia dalam pengetahuan UMNO, jika senario politik negara masih tidak berubah.

Ramai pemerhati politik berpendapat tidak akan berlaku perubahan yang memberangsangkan sekiranya UMNO masih kekal pentadbir negara.

Ini kerana sistem pentadbiran negara yang dibawa oleh parti itu terus menerus membawa negara ke arah tadbirurus tidak telus, penyalahgunaan kuasa, rasuah dan pelbagai penyelewengan lain lagi.

Pertukaran pucuk pimpinan negara di tangan UMNO tidak akan membawa perubahan apa-apa dalam negara kerana corak pentadbiran negara pada asasnya adalah sama sahaja di bawah UMNO.

Kebobrokan sosial, ekonomi dan politik dalam negara adalah kebobrokan sistem asas pentadbiran negara. Di situ letaknya punca permasalahannya.

Untuk melihat perubahan negara secara total satu mekanisme pembentukan kuasa politik perlu diatur segera sebelum kejatuhan ekonomi semakin membarah.

Parti-parti politik yang ada wakilnya di Parlimen perlu berbincang bagi mengatur langkah menyelamatkan rakyat dan negara ini dari terus dihantui oleh kepincangan yang berlaku sebelum ini.

Apakah ia perlu melalui undi tidak percaya terhadap Najib di Parlimen dan seterusnya diatur sidang khas untuk tujuan memilih kepimpinan negara yang baharu, terserahlah kepada kebijaksanaan ahli-ahli parlimen yang berperanan membuat dasar negara.

Persoalan pentingnya, negara sekarang berada di hujung tanduk, bimbang penyakit yang melanda Greece dan negara-negara dunia ketiga berlaku di Malaysia akibat hutang luar negara yang membarah.

Perundingan ahli-ahli politik perlu dibuat dari hati ke hati untuk menyelesaikan masalah ini.

Tags