Kita ditakdirkan menjadi manusia, tidak menjadi benda lain.
Apabila kita menjadi manusia, kita mempunyai tanggungjawab sebagai manusia yang penciptaannya lebih sempurna berbanding dengan makhluk lain.
Walaupun ia lebih sempurna berbanding dengan makhluk lain, ia masih mempunyai kelemahan sebagai benda yang dicipta.
Tidak ada satupun benda yang dicipta sempurna dalam semua aspek, mesti ada kekurangannya di sana sini.
Di samping itu antara sifat manusia ialah sentiasa memerlukan panduan dan pertolongan, dia tidak boleh berekspresi sendiri tanpa panduan dan pertolongan dari seseorang yang lebih kuat, betul dan benar dalam tindakannya.
Akal manusia terbatas kemampuannya. Keterbatasan akal ini perlu diakui oleh manusia itu sendiri tanpa unsur egoistik.
Manusia menjadi sesat sekaligus tidak berpijak di bumi nyata apabila akalnya dijadikan asas panduan hidupnya.
Akalnya hanyalah alat untuk mencari kebenaran, mencapai hidup bahagia yang sebenarnya.
Menggunakan akal dengan cara yang betul mengikut panduan yang betul, menjadikan manusia itu berfungsi sebagai makhluk penghuni asasi dunia dan amanlah dunia dengan jenis makhluk ini.
Sebaliknya, bumi akan binasa apabila ia dihuni oleh manusia perosak yang tidak menjadikan akal dan tindakannya berpandukan panduan yang betul dalam kehidupan mereka.