Latest News

Friday, May 22, 2009

Bawa Rayuan Ke Mahkamah Persekutuan

Saya bersetuju dengan sesiapa sahaja yang berpendapat bahawa Dewan Undangan Negeri (DUN) tidak lagi mempunyai kehormatan dan kemuliaan sebagai dewan yang mempunyai constitution (perlembagaan) apabila hak dan kuasanya boleh dicabar dan peruntukan undang-undangnya boleh diketepikan dengan keputusan hakim mahkamah rayuan petang semalam.

Dengan mengesahkan Dr. Zamry Abdul Kadir sebagai menteri besar Perak ketika Menteri besar sebelum itu Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin belum diusulkan undi tidak percaya kepadanya di Persidangan DUN negeri itu, menunjukkan bahawa DUN itu tidak lagi mempunyai kehormatan dan pemisahan kuasa dan kepertanggungjawaban dewan itu kepada ahli dewan tidak lagi diambilkira.

Ini adalah satu lagi krisis perlembagaan terpalit hitam dalam sejarah Malaysia akibat kerakusan Umno mahu merampas tapuk kuasa kerajaan negeri Perak.

Alasan, ia sudah dimulakan perancangan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk merampas kuasa kerajaan Malaysia (Pusat) suatu alasan yang sengaja diadakan untuk mengiayakan tindakan tidak mengikut undang-undang tersebut.

Sekarang siapa sahaja ahli dewan boleh mendakwa dan menulis surat kepada sultan bahawa dia mempunyai jumlah yang cukup untuk membolehkan kerajaan baru dibentuk tanpa melalui proses persidangan dewan sama ada parlimen atau DUN.


Tanpa prejudis kepada keputusan hakim mahkamah rayuan dan tanpa niat untuk mengkritik keputusan tersebut ia bolehlah ditafsirkan bahawa kuasa politik di masa akan datang boleh dibentuk tanpa melalui proses perundangan dan persidangan DUN.

Ini satu kerja merendahkan martabat DUN Perak khususnya dan saya mencadangkan supaya perkara ini dibawa ke Mahkamah Persekutuan untuk memuktamadkan apakah keputusan yang hendak ditetapkan oleh Umno terhadap kemelut politik melanda Perak sekarang.

Soal pembubaran DUN Perak, tidak menjadi persoalan penting dari sudut ini tetapi yang dipersoalkan di sini ialah keputusan hakim mahkamah berkenaan mengakibat ahli undang-undnag membuat tafsiran baru terhadap beberapa enekman dalam undang-undang tubuh negeri Perak.

Sultan Perak Sultan Azlan Shah tidak boleh memecat Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dari jawatannya kerana beliau (menteri besar) tidak memegang jawatan itu atas perkenan baginda.

Ini keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Abdul Aziz Abdul Rahim bila beliau mengisytiharkan Mohammad Nizar sebagai Menteri Besar Perak yang sah pada 11 Mei lalu.

Dalam penghakiman 78-muka yang dikeluarkan kepada media baru-baru ini, Abdul Aziz berkata sebaik saja menteri besar dilantik, beliau dan majlis exconya bertanggungjawab kepada Dewan Undangan Negeri dan tiada siapa lain.

Beliau berkata ini menurut fasal (2), (5), (6) dan (7) Artikel 16 Undang-undang Tubuh Negeri Perak.

"Sebaik saja menteri besar dilantik, menteri besar mentadbir negeri menerusi Majlis Eksekutif dan menasihatkan Sultan mengenai hal ehwal negeri sebagaimana diperuntukkan di bawah Artikel 18 (1) Undang-undang Tubuh Negeri Perak.

Hakim Abdul Aziz berkata Sultan bertindak atas nasihat kecuali dalam perkara di mana Undang-undang Tubuh Negeri Perak memperuntukkan bahawa Baginda boleh bertindak atas budibicara baginda semata-mata.

Justeru, slogan Umno mahu memulihkan kredibiliti institusi kehakiman hanyalah omong kosong sahaja, tidak berpijak di bumi nyata.

Berikut adalah laporan Bernama;

Mahkamah Rayuan Isytihar Zambry Menteri Besar Yang Sah

PUTRAJAYA, 22 Mei (Bernama) -- Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir hari ini diisytihar sebagai Menteri Besar Perak yang sah oleh Mahkamah Rayuan dalam satu keputusan sebulat suara.

Mahkamah mendapati keputusan Mahkamah Tinggi pada 11 Mei lepas bahawa Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin adalah Menteri Besar yang sah adalah salah, dan mengetepikan keputusan itu.

"Yang Arif Hakim Mahkamah Tinggi berkenaan telah gagal menilai dengan betul dan secukupnya kesemua keterangan yang ada padanya sehingga membuat keputusan yang salah," kata Hakim Datuk Md Raus Shariff, yang bersidang bersama Hakim Datuk Zainun Ali dan Hakim Datuk Ahmad Maarop.

Mohammad Nizar dan Zambry tidak hadir di mahkamah hari ini.

Hakim Md Raus, dalam penghakiman lisannya, juga mendapati Sultan Perak Sultan Azlan Shah membuat keputusan yang betul bagi melantik Zambry sebagai Menteri Besar yang baru, berdasarkan Perkara 16 (2) Undang-undang Tubuh Kerajaan Perak, selepas baginda berpuas hati bahawa Zambry mempunyai sokongan majoriti Anggota Dewan Undangan Negeri.

"Kami berpendapat bahawa keputusan sama ada untuk membenarkan atau tidak permohonan pembubaran Dewan Undangan Negeri adalah dalam bidang kuasa Sultan.

"Berdasarkan keterangan dalam kes ini, permohonan membubarkan dewan dibuat mengikut Perkara 16 (6) Perlembagaan Perak dan bukannya Perkara 36 Perlembagaan itu," kata Hakim Md Raus bagi membenarkan rayuan Zambry terhadap keputusan Mahkamah Tinggi itu.

Mahkamah juga mendapati Sultan Perak bertindak betul dengan bertanya sendiri untuk memuaskan hati baginda bahawa responden (Mohammad Nizar) tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti.

Hakim Md Raus berkata hakikat bahawa Mohammad Nizar tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti boleh diperoleh atau ditentukan dengan cara lain.

"Tidak ada syarat mandatori dalam Perlembagaan Perak bahawa usul undi tidak percaya perlu dibentangkan terhadap responden sebelum keputusan dibuat bahawa beliau tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti dalam Dewan Undangan Negeri," katanya.

Zambry mengemukakan rayuan pada 12 Mei terhadap keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Abdul Aziz Abdul Rahim yang mendapati bahawa Mohammad Nizar tidak mengosongkan kerusi Menteri Besar kerana beliau tidak kehilangan kepercayaan majoriti anggota Dewan.

Pada hari yang sama, permohonan beliau agar keputusan itu ditangguhkan dibenarkan oleh Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Ramly Ali, dan ini membolehkan Zambry meneruskan tugasnya sebagai Menteri Besar.

Pada 13 Mei, Mohammad Nizar mengemukakan permohonan bagi mengetepikan perintah penangguhan itu dan memohon agar panel lima Hakim Mahkamah Rayuan mendengar kes itu tetapi ianya ditolak semalam.

Selepas keputusan Mahkamah Rayuan diumumkan petang ini, peguam utama Mohammad Nizar, Sulaiman Abdullah, memohon mendapatkan penghakiman bertulis daripada mahkamah untuk tujuan rayuan di Mahkamah Persekutuan.

"Kami sedar bahawa mahkamah ini telah meneliti keterangan kes ini dan membuat keputusan dalam masa selang sehari. Saya telah menerima arahan daripada anak guam saya supaya membuat rayuan di Mahkamah Persekutuan. Kami hargai jika mahkamah dapat memberikan penghakiman bertulis secepat mungkin," katanya.

Hakim Md Raus menjawab : "Saya telah cuba menulisnya malam tadi. Saya akan usahakan dalam masa seminggu ini."

Beliau juga menolak permohonan Mohammad Nizar untuk mengetepikan perintah penangguhan oleh Hakim Ramly Ali.

Lebih 50 wakil media berkumpul di hadapan mahkamah seawal 1.30 tengah hari tetapi diberitahu mereka perlu beratur untuk mendapatkan pas masuk yang dihadkan kepada 15 pemberita.

Wartawan yang lain serta juga sekumpulan penyokong Zambry dan Mohammad Nizar yang tidak dapat masuk telah membantah. Mereka tidak ada pilihan kecuali terpaksa berada di luar mahkamah.

-- BERNAMA

Thursday, May 21, 2009

Ke Mana Malaysia di Bawah Najib?

Di hujung kerier Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sebagai Presiden Umno dan Perdana Menteri awal tahun ini sudah jelas kelihatan letih dan lemah tetapi penyandang baru kedua-dua jawatan tersebut lebih tidak bermaya kerana dia memegang jawatan dalam keadaan namanya tidak pernah dibersihkan melalui proses undang-undang dari dakwaan ebrpuluh-puluh skendal yang menjadi sebutan umum.

Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak diketahui umum menghadapi pelbagai tuduhan pembabitan dalam skendal atau jenayah di kebanyakan perdebatan umum dan bebas dari pengaruh politik Umno.

Namun ia tidak pernah disahkan bersih di mahkamah untuk memberi kredit positif terhadap kerier politiknya dan melayakkannya menjadi orang nombor satu Malaysia.

Jika Malaysia terus menerus menjadikan pemimpin sepertinya orang nombor satu negara sedangkan manusia penjenayahpun nampak tidak layak orang yang terpalit dengan pelbagai tuduhan skendal menjadi pemimpin politik, sudah pasti pertikaian dan kritikan massa terus menghantuinya.

Bahkan ada usaha menggagalkan kerier politiknya dari berterusan berada di atas dalam masa terdekat untuk sekurang-sekurangnya penjenayah tidak akan turut terkena penangan manusia yang berskendal dalam apa-apa urusan yang menyebabkan mereka rasa tertipu, menerima kerugian atau kesusahan tertentu.

Jika penjenayah mahu menghindar diri dari kejahatan sudah pasti dia mahu berurusan dengan orang yang bersih dan tidak ada skendal supaya dia terselamat dari sebarang gejala tidak sihat dan memberi kesan buruk terhadap dirinya.

Apa lagi orang yang bukan dikategorikan penjenayah. Politik yang dipimpin oleh penjenayah biasanya menimbulkan tentangan orang ramai dan mudah tumbang kerana nurani manusia walau siapapun mereka tidak suka dengan pemimpin seperti itu.

Sekarang dunia moden dan begitu terbuka mayanya, memudahkan seseorang mengetahui siapa manusia yang sepatutnya disanjung dan dijadikan pemimpin dan siapa sebaliknya, sekaligus akan memberi kata dua kepada sesiapa yang melihat dirinya berkeupayaan menjadi pemimpin politik dan negara.

Nah, di sini letak persoalan ke mana kesudahan Malaysia di bawah Najib sebagai Perdana Menteri.

Monday, May 18, 2009

Mahkamah Tinggi Putuskan Sultan Tidak Boleh Pecat Menteri Besar

KUALA LUMPUR, 18 Mei (Bernama) -- Sultan Perak Sultan Azlan Shah tidak boleh memecat Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dari jawatannya kerana beliau (menteri besar) tidak memegang jawatan itu atas perkenan baginda.

Ini keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Abdul Aziz Abdul Rahim bila beliau mengisytiharkan Mohammad Nizar sebagai Menteri Besar Perak yang sah pada 11 Mei.

Dalam penghakiman 78-muka yang dikeluarkan kepada media hari ini, Abdul Aziz berkata sebaik saja menteri besar dilantik, beliau dan majlis exconya bertanggungjawab kepada Dewan Undangan Negeri dan tiada siapa lain.

Beliau berkata ini menurut fasal (2), (5), (6) dan (7) Artikel 16 Undang-undang Tubuh Negeri Perak.

"Sebaik saja menteri besar dilantik, menteri besar mentadbir negeri menerusi Majlis Eksekutif dan menasihatkan Sultan mengenai hal ehwal negeri sebagaimana diperuntukkan di bawah Artikel 18 (1) Undang-undang Tubuh Negeri Perak.

Hakim Abdul Aziz berkata Sultan bertindak atas nasihat kecuali dalam perkara di mana Undang-undang Tubuh Negeri Perak memperuntukkan bahawa Baginda boleh bertindak atas budibicara baginda semata-mata.

Beliau berkata berdasarkan peruntukan dalam Artikel 16, ia mensyaratkan bahawa dewan undangan adalah pihak yang menentukan sama ada ia menaruh keyakinan terhadap menteri besar selaku ketua majlis eksekutif menerusi undi tidak percaya terhadap menteri besar.

"Saya berpendapat bahawa pemecatan menteri besar oleh Baginda atau oleh sesiapa lain tidak sekali-kali dipertimbangkan di bawah Artikel 16 (6) Undang-undang Tubuh Negeri Perak," kata beliau.

Beliau berkata fasal 7 Artikel 16 undang-undang tubuh itu memperuntukkan bahawa kecuali menteri besar, anggota-anggota lain Majlis Eksekutif memegang jawatan atas perkenan Sultan dan mereka (anggota eksekutif) boleh dipecat dari jawatan oleh Sultan yang bertindak atas nasihat menteri besar.

Abdul Aziz berkata Sultan Perak telah menemui dan menginterbiu tiga anggota dewan negeri yang menjadi anggota bebas dan seorang lagi anggota dewan yang sebelumnya keluar dari Barisan Nasional (BN) tetapi kemudian menyertai semula parti itu dan mereka memberitahu Sultan tentang sokongan mereka kepada BN secara sukarela tanpa dipaksa oleh mana-mana pihak.

Abdul Aziz, bagaimanapun berkata, walaupun menerusi pertanyaan Sultan, Baginda berpendapat Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir mendapat sokongan majoriti anggota dewan undangan negeri, ini tidak bermakna Baginda boleh membuat keputusan bahawa Mohammad Nizar tidak lagi mendapat keyakinan majoriti dewan berkenaan.

Beliau berkata pendapat peribadi atau keputusan Sultan tidak relevan kepada maksud Artikel 16 (6) yang memperuntukkan bahawa "jika menteri besar tidak lagi mendapat keyakinan majoriti anggota dewan undangan, maka, kecuali atas permintaannya, Baginda membubarkan dewan, beliau dikehendaki mengemukakan peletakan jawatan majlis eksekutif".

Abdul Aziz mendengar prosiding semakan kehakiman yang dibawa oleh Mohammad Nizar, 52, memohon writ "quo warranto" dikeluarkan terhadap Zambry untuk memberi sebab atas asas apa atau kuasa apa beliau adalah menteri besar yang sah.

Abdul Aziz kemudian mengisytiharkan Mohammad Nizar sebagai menteri besar yang sah selepas memutuskan bahawa beliau (Nizar) tidak pernah melepaskan jawatan menteri besar oleh kerana beliau tidak kehilangan keyakinan majoriti dewan undangan negeri.

Mohammad Nizar, dilantik sebagai menteri besar pada 17 Mac tahun lepas selepas pakatan DAP-PKR-PAS memenangi 31 kerusi dalam plihan raya umum ke 12.

Kedua-dua pihak, bagaimanapun, mempunyai 28 kerusi masing-masing, selepas tiga anggota dewan dari pakatan itu keluar parti untuk menjadi anggota bebas dan yang keempat melompat semula dari PKR kepada Umno.

Sultan kemudian meminta Mohammad Nizar meletak jawatan menteri besar dan Zambry mengangkat sumpah selepas mengisytiharkan bahawa Barisan Nasional mempunyai majoriti di dewan undangan negeri.

Mahkamah Rayuan, pada 12 Mei, membenarkan perintah penangguhan keputusan itu kepada Zambry dan menetapkan Khamis ini untuk mendengar bersama permohonan Mohammad Nizar mengetepikan perintah penangguhan.

Dalam penghakimannya, Hakim Abdul Aziz juga berkata beliau tidak meragui bahawa Sultan mempunyai budibicara mutlak berhubung pelantikan menteri besar dan tidak memperkenan permintaan bagi pembubaran dewan undangan negeri.

"Saya tidak pernah meragui tentang pelaksanaan prerogatif diraja untuk melantik seorang menteri besar mengikut Artikel 16 (2) Undang-undang Tubuh Negeri Perak semata-mata berdasarkan pendapat peribadi Baginda.

"Dan bahawa Baginda boleh memilih apa carapun bagi memuaskan hati dan membuat keputusan sewajarnya tentang siapa yang mendapat keyakinan majoriti dewan undangan negeri hingga beliau boleh dilantik sebagai menteri besar untuk memimpin majlis eksekutif," katanya.

Abdul Aziz bagaimanapun berkata perkara yang sama tidak boleh dilakukan berhubung Artikel 16 (6) dalam memutuskan sama ada menteri besar tidak lagi mendapat keyakinan majoriti anggota dewan undangan.

-- BERNAMA

Sunday, May 17, 2009

Bubar DUN Perak - Jangan jadi nyanyian tak berlagu!

Menyelinap berita online, kes di Perak masih dominan. Kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najid Tun Abdul Razak menafikan pembabitannya dalam krisis politik dan perlembagaan di negeri itu sukar untuk diterima walau apa alasan yang diberikan.

Ini kerana Najib dan kepimpinan Umno sengaja tidak mengadakan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, ketika dikatakan jumlah majoriti ahli DUN di negeri itu berpihak kepada BN.

Tiba-tiba dilantik menteri besar baru sedangkan menteri besar Pakatan Rakyat (PR), masih ada dan wujud di bawah undang-undang tubuh negeri tersebut.

Krisis mula timbul dikatakan akibat tiga ADUN PR menjadi wakil rakyat bebas dan dikatakan menyokong BN. Mengapa selepas sokongan itu ada, tidak memanggil persidangan DUN segera bagi mengusulkan undi tidak percaya kepada Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai menteri besar yang sah?

Ia merupakan satu kesilapan politik paling besar dan tindakan tidak bijak di pihak BN dalam hal tersebut.

Jika ia masih tidak berkesan, memang membubarkan DUN Perak suatu alternatif penyelesaian dan ia akan menjadi lagu yang sentiasa dinyanyikan oleh rakyat Malaysia dan Perak sehingga hari ini.

Sampai bila BN mahu pertahankan tindakannya merampas kuasa di Perak, rakyat kini melihat perkembangannya.

Saturday, May 16, 2009

DUN Perak Bubar Isnin?

Saturday, 16 May 2009

(TV Antara) - Satu pengumuman besar dijangka dibuat pihak istana Perak Isnin depan yang mungkin mampu memecahkan kebuntuan politik yang melanda negeri itu dan seterusnya mengakhiri kemelut politik yang berpanjangan sejak tiga bulan lalu.

Menurut sumber pengumuman itu ada kena mengena dengan desakan rakyat Perak yang mahukan mandat mereka dikembalikan untuk memilih kerajaan pilihan mereka semula setelah Barisan Nasional mendalangi rampasan kuasa terhadap kerajaan sah Pakatan Rakyat 5 Februari lalu.

"Kemungkinan pihak istana mengumumkan berhubung pembubaran Dewan Undangan Negeri Perak adalah besar memandangkan situasi kemelut politki di anatara Pakatan Rakyat dan BN nampaknya tidak ada jalan keluar.

"Desakan rakyat supaya DUN dibubarkan dan pilihan raya negeri diadakan mungkin sudah dipertimbangkan semasak-masaknya oleh pihak istana dan demi kebaikan, kemakmuran dan kestabilan negeri Perak langkah ini sajalah yang terbaik bagi mengatasi krisis tersebut," sumber memberitahu TV Antara.

Sekiranya ini berlaku Perak akan menyaksikan pilihan raya negeri pertama setelah pilihan raya umum tahun lalu.

Pada PRU ke 12, Pakatan Rakyat memenangi 31 kerusi sementara BN pula mendapat 28 kerusi.

Perbuatan BN memujuk 3 Ahli Dewan Undangan Negeri Pakatan Rakyat keluar daripada gagasan itu dan mengisytiharkan diri mereka sebagai ADUN bebas telah mencetuskan krisis politik yang paling buruk dalam sejarah moden Perak yang turut mengheret institusi raja, badan-badan kehakiman dan legislatif.

Beberapa perkembangan yang berlaku kebelakangani ini juga mungkin mempengaruhi pihak istana untuk memperkenankan pembubaran DUN.

Antara yang paling penting ialah senario persefahaman yang telah wujud di antara Pakatan Rakyat dan BN berkaitan jalan penyelesaian krisis politik Perak.

Beliau juga berkata isu sama ada DUN Perak akan dibubarkan atau tidak kini terletak ditangan Sultan.

Walaupun Perdana Menteri Najib Razak sebelum ini berkeras tidak mahu mengadakan pilihan raya baru negeri melalui pembubaran DUN namun kini beliau dilihat sudah berlembut dan mahu berdialog dengan Pakatan Rakyat.

Pakatan Rakyat pula atas dasar mahu melihat penyelesaian kemelut politik tersebut diatasi secara aman bersetuju untuk mengadakan perbincangan dengan BN tetapi prinsip pembubaran DUN tetap dipertahankan.

Ini kerana menurut Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat, Anwar Ibrahim hak rakyat perlu dikembalikan semula jika amalan demokrasi sihat mahu diwujudkan di negera ini serta menolak budaya kedurjanaan politik.

Walaupun menurut perlembagaan pembubaran DUN adalah di atas nasihat Menteri Besar namum pensyarah undang-undang Universiti Islam Antaranbangsa Malaysia, Profesor Dr Abdul Aziz Bari berkata Sultan mempunyai kuasa khas yang jarang digunakan yang membolehkan baginda membubarkan DUN selaku kedudukan sebagai Sultan.

"Dalam keadaan di mana sesuatu keadaan itu tidak lagi boleh diselesaikan melalui kompromi politik dan juga proses perundangan baginda Sultan boleh menggunakan "reserve power" baginda untuk membubarkan Dewan tanpa merujuk kepada Menteri Besar apatah lagi dalam keadaan di Perak sekarang yang mempunyai dua penyandang jawatan," Prof Aziz berkata.

Wednesday, May 13, 2009

BUBAR SAJA DUN PERAK!

Barisan Nasional (BN) paling lemah dan berada dalam keadaan 'underdog' berdepan dengan kemelut politik Malaysia khususnya di Perak.

Untuk menang, BN rancang rampas kuasa di Perak melalui cara tidak bermaruah dan tidak mengikut perlembagaan negeri Perak (unconstitution).

Apa yang berlaku negeri bercelaru sehingga wujud dua menteri besar dalam satu masa. Soal kes ini dalam tindakan mahkamah atau tidak, tidak penting.

Yang penting wujud dua jawatan menteri besar dalam satu negeri. Apa kata masyarakat antarabangsa melihat perkembangan ini berlaku di Malaysia. bagaimanapun apa komen mereka terhadap kecelaruan dan status politik negeri ini, belum diketahui setakat ini.

Tiba-tiba menteri besar BN, Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir membuat kenyataan, beliau mahu menumpukan sepenuhnya terhadap pembangunan negeri Perak yang dikehendaki rakyat. Soalnya siapakah Dr. Zambry di mata rakyat dan undang-undang?

Bagaimana mahu menumpukan pembangunan negeri Perak sekiranya politik negeri itu bercelaru? Pelabur mana yang cerdik sangat mahu melabur di negeri itu dalam keadaan politik sekarang?

Mengapa Umno tidak mahu menerima pandangan pakar-pakar politik dan orang ramai untuk selesaikan krisis politik negeri itu dengan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak dan mengadakan pilihanraya peringkat negeri itu dalam masa terdekat?

Saya melihat laporan ketika penghujahan dalam kes tuntutan Datuk Seri Muhammad Nizar Jamaluddin, jelas menampakkan bahawa Umno dan kepimpinannya semacam mahu mengelak dari berlakunya pembubaran DUN Perak.

Ini kerana semua beranggapan BN takut kalah menghadapi Rakyat dan Pakatan Rakyat (PR) negeri itu buat masa ini. Kedudukan kerusi sama banyak iaitu 28 kerusi DUN milik Pakatan Rakyat (PR) dan 28 lagi milik BN sementara tiga kerusi bebas. Jika benar bebas menyokong BN, masuk BN sahajalah baru ia realistik bukan bersandiwara atau ada udang di sebalik batu.

Jika pilihan raya diadakan semula, tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bebas, sudah pasti sukar untuk dipilih semula sebagai calon dalam keadaan sekarang. Sudah pasti PR akan memilih calon berjiwa rakyat dan mendapat sokongan mereka di kawasan-kawasan berkenaan.

Dengan 'underdog' yang tercalit dalam kancah politik Umno melihat beberapa insiden pilihan raya kecil sebelum ini, sudah pasti Presidennya, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak terkena badi takut bayang-bayang sendiri atau trauma tidak kehabisan.

Lagi parah ialah apa jenis parti dan apa sistem yang mahu ditegakkan di negara ini sekiranya rampasan kuasa dan sikap kuku besi dipertahankan Umno?

Polis diperalatkan untuk tujuan ini dalam insiden di Persidangan DUN Perak baru-baru ini menjadikan politik Perak semakin tidak menentu.

Pemimpin Umno sepatutnya melihat masa depan politik Perak dan politik Malaysia sebagai teras keharmonian negara dengan menyerahkan rakyat membuat penilaian melalui pilihan raya sebagai komitmen mereka sebagai pemimpin rakyat bukan seperti apa yang berlaku sekarang.

Mengapa perlu meletakan diri dan negeri Perak dalam kecelaruan sedangkan sudah ada jalan untuk penyelesaian yang boleh diterima oleh semua pihak tidak kira bangsa dan agama iaitu membubarkan DUN Perak dan mengadakan pilihanraya peringkat negeri itu semula.

Kerana kepentingan parti Umno dan peribadi pemimpinnya, negeri dan negara diletak di bawah konflik perlembagaan dan melontarkan imej buruk politik di mata dunia.

Saya tetap meletakkan rasional pemikiran dan tindakan politik dengan memberi kebebasan kepada rakyat menurut undang-undang mengadakan pilihan raya semula di Perak sebagai jalan penyelesaian efektif bagi mengatasi kemelut politik negeri itu.

Semua pihak mesti bersikap terbuka menerima segala keputusan muktamad hasil dari keputusan pengundian pilihan raya itu sama ada BN menang atau PR menang. Itu sudah menjadi adat pertarungan politik.

Sementara, Umno tidak akan pulih dari kelemahan politik dan kepimpinannya sehingga sekarang tetapi jangan pula mahu menegakkan benang basah dengan mengenepikan kepentingan rakyat dan undang-undang dengan mengekalkan rampasan kuasa di negeri Perak.

Inilah elemen yang terbuku di hati dan menimbulkan kebencian mendalam rakyat terhadap Umno dan kepimpinannya sekarang.

Pengerusi Gerakan Pulau Pinang cadang bubar DUN Perak

IPOH, 14 Mei (Bernama) -- Pengerusi Gerakan Pulau Pinang Datuk Dr Teng Hock Nan hari ini dibidas kerana mencadangkan agar Dewan Undangan Negeri Perak dibubarkan, satu kenyataan yang dianggap boleh menimbulkan pergeseran dalam Barisan Nasional.

"Sepatutnya, dalam keadaan ini, beliau memberi perangsang dan menyokong kita," kata Anggota Dewan Undangan Negeri Perak kawasan Kubu Gajah Datuk Seri Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar kepada Bernama hari ini.

Beliau berkata Teng seharusnya menumpukan perhatiannya kepada usaha pemulihan Gerakan di Pulau Pinang.

"Apakah Teng tidak tahu BN mempunyai suara majoriti di Perak. Adakah dia tidak tahu krisis yang berlaku ini berpunca dari Pakatan Rakyat yang enggan menerima hakikat yang mereka telah hilang suara majoriti," katanya.

Dalam sidang akhbarnya di Pulau Pinang semalam, Teng berkata langkah membubarkan DUN akan membolehkan rakyat Perak memutuskan parti mana yang sepatutnya mentadbir negeri itu.

Ketua Penerangan Umno, Ahmad Maslan, pula berkata rakyat Perak perlu diberi penjelasan bahawa BN berhak memerintah negeri itu kerana mempunyai majoriti dalam Dewan Undangan Negeri.

"Krisis politik di Perak merupakan isu nasional dan perlu diperjelaskan kepada setiap penduduk di negeri ini bagi mengelak timbulnya kekeliruan," katanya selepas menemui jentera penerangan Umno Perak di sini malam tadi.

Ahmad, yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, berkata beliau akan menjelaskan setiap isu berkaitan kemelut politik Perak dalam rangka lawatannya ke negeri-negeri dalam masa terdekat.

-- BERNAMA

Monday, May 11, 2009

Nizar Adalah Menteri Besar Perak Yang Sah

KUALA LUMPUR, 11 Mei (Bernama) -- Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin diisytiharkan sebagai Menteri Besar Perak yang sah oleh Mahkamah Tinggi di sini Isnin. ini.

Dengan keputusan itu, persoalan mengenai siapakah Menteri Besar yang sah -- Nizar atau Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir -- yang menyebabkan negeri itu dilanda krisis politik bagi tempoh lebih 100 hari, akhirnya terjawab.

Hakim Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-kuasa Khas) Datuk Abdul Aziz Abd Rahim memutuskan bahawa Nizar tidak mengosongkan jawatan Menteri Besar kerana beliau tidak kehilangan kepercayaan majoriti anggota Dewan Undangan Negeri.

Dalam kes ini, Abdul Aziz berkata tiada undi tidak percaya telah diusulkan terhadap Nizar.

"Bagaimana seseorang boleh mengatakan yang pemohon (Nizar) telah hilang kepercayaan majoriti mengikut Perkara 16(6) Undang-undang Tubuh Negeri Perak?"

"Berdasarkan amalan demokrasi, isu kehilangan kepercayaan majoriti hanya boleh diambil kira melalui undi tidak percaya terhadap pemohon (Nizar), hanya melalui cara ini Menteri Besar boleh disingkirkan," kata Abdul Aziz dalam penghakiman bertulis yang disampaikannya pada 2.30 petang.

Pada 13 Feb, Nizar, 52, memfailkan permohonan kepada mahkamah bagi diisytiharkan bahawa beliau pada sepanjang masa adalah Menteri Besar Perak yang sah.

Nizar, yang dilantik sebagai Menteri Besar pada 17 Mac tahun lepas apabila pakatan pembangkang memenangi 31 kerusi pada pilihan raya umum ke-12, juga memohon pengisytiharan bahawa Zambry tidak berhak untuk memegang jawatan Menteri Besar.

Abdul Aziz, dalam penghakimannya berkata seorang Menteri Besar tidak boleh dipecat oleh Sultan Perak atas alasan beliau tidak boleh memegang jawatan itu tanpa perkenan sultan.

Pemecatan Menteri Besar oleh Sultan Perak tidak disokong oleh Perkara 16(6) Undang-undang Tubuh Negeri Perak, katanya.

Abdul Aziz berkata walaupun Sultan Perak mempunyai kuasa mutlak dalam pelantikan Menteri Besar, seorang Menteri Besar, sebaik dilantik, hanya bertanggungjawab kepada anggota Dewan Undangan Negeri yang dipilih, dan tidak kepada mana-mana pihak yang lain.

Dalam penghakimannya, Abdul Aziz, yang merupakan Hakim Mahkamah Tinggi yang ketiga mendengar kes itu, tidak bersetuju dengan hujahan Peguam Negara Abdul Gani Patail, selaku pencelah, bahawa hanya dalam dua keadaan yang membolehkan Menteri Besar boleh memohon bagi pembubaran Dewan Undangan Negeri.

"Peguam Negara berhujah bahawa Menteri Besar hanya boleh memohon bagi pembubaran apabila tempoh penggal dewan telah hampir tamat, iaitu di bawah Perkara 36(2) dan satu lagi apabila beliau berhenti mendapat kuasa daripada majoriti.

"Saya tidak bersetuju dengan perkara ini. Mengikut Perkara 36 Undang-undang Tubuh Negeri Perak, tiada keadaan yang terhad bagi Menteri Besar untuk memohon pembubaran daripada sultan, dan terserah kepada Menteri Besar untuk memilih masanya (untuk memohon bagi pembubaran)," kata Abdul Aziz.

Hakim juga tidak bersetuju dengan hujahan Peguam Negara dan Dr Zambry sebelum ini bahawa Nizar dianggap telah meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar walaupun beliau (Nizar) enggan berbuat demikian.

Abdul Aziz berkata walaupun Sultan Perak mempunyai kuasa mutlak dalam pelantikan Menteri Besar, seorang Menteri Besar, sebaik dilantik, hanya bertanggungjawab kepada anggota Dewan Undangan Negeri yang dipilih, dan tidak kepada mana-mana pihak yang lain.

Hakim juga tidak bersetuju dengan hujahan Peguam Negara dan Dr Zambry sebelum ini bahawa Nizar dianggap telah meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar walaupun beliau (Nizar) enggan berbuat demikian.

Abdul Aziz berkata beliau percaya dengan keterangan Nizar yang beliau tidak memohon perkenan Tuanku Sultan untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri kerana beliau tidak kehilangan kepercayaan majoriti.

"Keadaan pada 4 Feb ialah Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional masing-masing mempunyai 28 kerusi dalam Dewan.

"Keterangan pemohon bahawa semasa menghadap Sultan Azlan Shah, beliau telah memohon perkenan bagi membubarkan dewan mengikut Perkara 36(2) Undang-undang Tubuh Negeri Perak adalah disebabkan wujud kebuntuan dalam Dewan (apabila Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional masing-masing mempunyai 28 kerusi), tetapi menafikan beliau telah kehilangan kepercayaan majoriti anggota dewan," katanya.

Krisis politik Perak bermula apabila dua anggota Dewan Undangan Negeri dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) Jamaluddin Mohd Radzi (Behrang) dan Mohd Osman Mohd Jailu (Changkat Jering) meletakan jawatan masing-masing pada 30 Jan diikuti Hee Yit Foong (Jelapang) dari DAP, empat hari kemudian.

Berikutan itu, Nizar telah menghadap Sultan Azlan Shah pada 4 Feb untuk memohon bagi pembubaran Dewan Undangan Negeri tetapi permohonan itu ditolak.

Dalam penghakimannya hari ini, Abdul Aziz mengulangi yang mahkamah tidak mempersoalkan keputusan Sultan Perak yang menolak permohonan itu kerana ia tidak berjustifikasi.

"Tidak diragui bahawa Duli Yang Maha Mulia mempunyai bidang kuasa mutlak untuk tidak memperkenankan permohonan bagi pembubaran," tegasnya.

Hakim itu turut mempersoalkan kenapa Barisan Nasional, selepas mengisytiharkan yang ia mendapat kepercayaan majoriti, tidak memanggil Nizar ke persidangan khas dewan untuk membentangkan usul tidak percaya terhadap beliau, kerana adalah lebih demokrasi untuk berbuat demikian.

Selepas penyampaian penghakiman selama sejam itu, Datuk Cecil Abraham yang mewakili Dr Zambry, memohon penangguhan pelaksanaan keputusan itu sementara menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan, tetapi ditolak oleh Abdul Aziz.

"Saya menolak permohonan lisan Datuk. Datuk boleh memfailkan permohonan rasmi bagi penangguhan, bersama-sama dengan kes dan autoriti, jika Datuk mahu meneruskannya," katanya.

Mahkamah sesak dengan lebih 50 wakil media dan anggota keluarga serta penyokong Nizar yang datang seawal 1.30 tengah hari. Nizar diwakili peguam Sulaiman Abdullah dan 10 peguam lain manakala Dr Zambry, yang tidak hadir di mahkamah hari ini, diwakili Cecil dan Sunil Abraham.

-- BERNAMA

Ada pihak mahukan Perak Haru Biru

Lama juga saya tidak menulis di blog ini. Maaf kerana saya terasa semacam tidak senang dengan berkecamuknya politik di Malaysia akibat terlalu lama rakyat membiarkan Umno/BN menguasai negara ini.

Umno boleh bertindak seperti Mafia di Dewan Undangan Negeri Perak dengan menculik atau membawa lari Speaker Dun itu, Sivakumar sebelum satu perlantikan speaker baru dibuat selepas itu.

Ini tindkan tidak bertamaddun dan mencemarkan maruah dan undang-undang Tubuh negeri Perak.

Saya nampak Umno paling pengecut berdepan dengan dunia politik negara ini atau berdepan dengan pembangkang sendiri. Umno takut kepada bayang-bayang sendiri apabila mereka sendiri yakin jika ada pilihan raya kecil di negeri itu, BN akan menghadapi kekalahan.

Kekalahan kerana Umno/BN bukan lagi pilihan rakyat akibat haru biru dan bercelaru polisi dan pentadbirannya selama ini memberi gambaran buruk kepada rakyat sekaligus rakyat menolak Umno sebagai parti pemerintah.

Tetapi dengan sifat lanun dan mafia dia merampas Perak dari tangan Pakatan Rakyat (PR). Tiba-tiba Datuk Seri Nizar Jamaludin menang petisyen di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sekaligus beliau diisytiharkan sebagai Menteri Besar yang sah kerana tidak ada usul undi tidak percaya dibuat dalam persidangan DUN Perak sebelum ini.

Difahamkan Datuk Seri Nizar akan mengadap baginda Sultan Perak untuk memaklumkan keputusan mahkamah tersebut dan untuk menasihatkan baginda supaya membubarkan DUN Perak bagi memberi laluan kepada rakyat jelata membuat pilihan semula siapakah sepatutnya memerintah negeri Perak sama ada Pakatan Rakyat atau BN.

Saya turut berpendapat bahawa mengembalikan hak kepada rakyat membuat pilihan semula dalam pilihan raya kecil negeri itu adalah suatu yang wajar dan rasional jika keamanan dan kedamaian dikehendaki oleh semua pihak.

Jika sebaliknya, pihak yang tidak membenarkan pilihan raya tersebut sebenarnya tidak rasional dan sengaja mahukan negeri itu terus haru biru dan dilanda krisis demi menunaikan niat jahat pihak tertentu di sebalik krisis di Perak.

Antara niat jahat itu ialah sifat perkauman sempit pihak tertentu dan sikap gelojoh mabuk kuasa memungkin perancangan ala mafia dibuat bagi mengizinkan secara paksa satu kerajaan haram BN diwujudkan di negeri Perak.

Dengan menyerahkan semula mandat kepada rakyat untuk membuat pilihan parti manakah yang akan memerintah negeri itu, merupakan satu tindakan bijak dan berhemah bagi menjaga kepentingan semua pihak khususnya keamanan dan kedamaian negeri Perak sekaligus bagi menegakkan undang-undang negeri itu sendiri.

Tidak kira siapa memerintah selepas itu, sama ada PR atau BN, ia adalah pilihan rakyat dan semua parti mesti akur dengan keputusan yang dibuat oleh rakyat.

Akibat tidak mahu akur dengan keputusan rakyatlah menyebabkan Perak menjadi negeri haru biru dan ia amatlah dikesali dan mencatatkan satu lagi tragedi hitam dalam senarai sejarah politik negara.

Tags