Latest News

Saturday, July 25, 2009

Era kemajuan pasar malam semakin malap di Kuala Terengganu

Kerajaan Terengganu nampaknya mencari masalah dengan peniaga-peniaga pasar malam Kuala Terengganu dengan mengarahkan mereka berpindah ke tempat lain di beberapa tempat termasuk Pak Tuyu, Pasir Panjang, Pulau Duyong dan Wakaf Tembesu.

Arahan itu ada baiknya dan ada juga buruknya. Yang baik apabila kawasan berniaga sedia ada berada di lokasi tepi jalan raya dan jalan utama. Tapak pasar malam seumpama itu perlu dipindahkan kerana boleh membawa kesesakan lalu lintas.

Tetapi tapak ganti perlu strategik untuk perniagaan dan tidak hanya satu tapak yang tidak langsung memberi keuntungan kepada peniaga.

Pasar Malam Pasir Panjang Kuala Terengganu, memang sepatutnya dipindahkan dari tempat asalnya ke tapak lain yang bersesuaian kerana ia dibuat di tepi jalan raya yang agak sempit.

Bagaimanapun saya tidak setuju Tapak Pasar Malam di Pulau Duyong Kuala Terengganu yang sedia ada di pindahkan ke satu lokasi yang agak jauh dari kedudukan tapak asal walaupun di tepi jalan raya tetapi ia di dalam kampung dan jalan raya berkenaan agak luas.

Sepatutnya tapak berkenaan yang berada bukan di laluan utama jalan raya dan berhampiran jambatan Sultan Mahmud Kuala Terengganu, tidak dipindahkan. Ertinya ia perlu kekal di situ kerana ia suatu kawasan strategik untuk perniagaan.

Penduduk sekitar termasuk dari Batu Enam, Jalan Kelantan, Bukit Tunggal, Pulau Ketam, Seberang Takir, Cabang Tiga, Bukit Besar, Pulau Duyong dan lain-lain, cukup mudah untuk singgah di pasar malam berkenaan yang diadakan setiap hari jumaat itu.

Ini kerana ia dapat dilihat dari atas jambatan lagi dan ia berhampiran dengan jalan susur masuk dan keluar ke Kampung Pulau Duyong dari jambatan tersebut.

Kawasan tersebut berada di tengah-tengah laluan atau dipanggil 'midle irea' kalau dibandingkan dengan tapak baru yang dibuat di tepi sungai dan di tepi kampung Pulau Duyong dan dilaluan ke satu resort tersohor untuk monsun cup di kampung berkenaan.

Ia nampak menggangu laluan masuk ke resort berkenaan kerana jalan laluan masuk ke resort itu sempit dan berbenteng simen dan lagi pun banyak kenderaan diletakkan di situ ketika perniagaan pasar itu mula beroperasi jumaat lepas.

Berikutan itu kira-kira 100 peniaga pasar malam berkenaan telah menghantar satu surat permohonan kepada Menteri Besar Terengganu, Dato' Ahmad Said untuk kekalkan tapak berkenaan di tempat asal dan ia dilampirkan dengan sokongan surat sebuah dewan perniagaan dari Kuala Terengganu dan tanda tangan sokongan kira-kira 140 orang termasuk peniaga dan orang ramai yang berkunjung di tapak asal sebelum itu.

Surat berkenaan telah diterima oleh Setiausaha Politik Dato' Ahmad, Wan Ahmad Nizam Wan Muda dan setakat rencana ini ditulis permohonan ini masih lagi tergantung- belum ada keputusan dibuat oleh menteri besar berkenaan.

Bersama rencana ini saya sertakan antara sedutan alasan yang dikemukakan kepada Dato' Ahmad dalam surat berkenaan seperti berikut:-

PERMOHONAN KEKALKAN PERNIAGAAN PASAR MALAM PULAU DUYONG DI TAPAK SEDIA ADA

Merujuk kepada perkara di atas Kami, peniaga-peniaga Pasar Malam Pulau Duyong, Kuala Terengganu yang berjumlah kira-kira 100 orang dengan ini memohon dengan jasa baik Y.A.B. Dato� untuk menerima rayuan kami agar membenarkan kami terus berniaga di tapak yang sedia ada di bawah dan berhampiran Jambatan Sultan Mahmud Kuala Terengganu dengan sebab-sebab berikut:-

1- Tapak sedia ada agak strategik dengan perniagaan kami kerana ia merupakan satu tempat yang cukup mudah dan selesa untuk orang ramai berkunjung dan membeli belah kerana ia dihubungi oleh laluan masuk dari jambatan berkenaan ke tempat tersebut.

Sementara tapak baru terletak agak jauh dari laluan tersebut jaraknya ialah kira-kira 400 meter dari tapak asal dan ia agak sukar untuk dikunjungi oleh orang ramai tidak seperti di tempat berniaga sedia ada.

2- Oleh kerana pasar berkenaan berhampiran laluan masuk itu maka ia dikunjungi bukan sahaja penduduk Pulau Duyong tetapi penduduk sekitar termasuk Bukit Besar, Seberang Takir, Bukit Tunggal, Serdang Baru, Pak Katak, Batu 6, Wakaf Tembesu, Cabang Tiga, Pulau Ketam dan pengguna-pengguna Jambatan Sultan Mahmud yang kebetulan bercuti di hari minggu (hari Jumaat).

3- Tapak sedia ada kurang memberi ganggguan kepada laluan masuk ke Pulau Duyong memandangkan jalan raya berhampiran agak lebar. Lagi pun hanya satu hari seminggu sahaja kami berniaga di situ.

4- Sebelum ini kami sentiasa mematuhi arahan untuk tidak berniaga pada hari tersebut sekiranya ada �event� membabitkan Pulau Duyong dan penggunaan jalan berhampiran dan ia tidak menjadi masalah besar kepada kami untuk mematuhi arahan tersebut asalkan kami tidak dihalang terus dari berniaga di situ.

5- Sudah lima kali tapak pasar malam Pulau Duyong berpindah randah dari satu tempat ke satu tempat di sekitar Pulau Duyong berkenaan tetapi ia tidak menjadi dan akhirnya terpaksa berpindah ke tempat sedia ada sekarang. Dari segi strategi perniagaan sikap �try and error� ini membawa kesan buruk kepada pendapatan peniaga.

6- Purata pendapatan kami ketika berniaga di situ ialah RM400.00 (EMPAT RATUS RINGGIT) semalam antara pendapatan tertinggi yang kami perolehi berbanding dengan tempat-tempat lain.

7- Wakil kami ada membuat tinjauan perniagaan pasar malam di negeri-negeri lain termasuk Alor Gajah Melaka, didapati pihak berkuasa tempatan di sana membenarkan peniaga menjalankan operasi perniagaan di dalam bandar bukan sahaja dalam kampung.

Bahkan berhampiran pula dengan stesyen bas ekspress, sudah pasti ia agak sibuk apa lagi jalan laluan berhampiran agak sempit lebih sempit dari jalan laluan ke Pulau Duyong.


Justeru itu saya melihat walaupun ia bukan suatu isu besar di Terengganu tetapi ia perkara perlu mendapat pertimbangan sewajarnya dari Kerajaan negeri itu.

Pihak Kerajaan Negeri itu perlu bertindak bijak dan mengutamakan semua pihak untuk selesaikan masalah terutama sekali peniaga-penaiga Melayu di negeri tersebut yang disifatkan banyak masalah ketika berdepan dengan kerenah birokrasi kerajaan tidak seperti di negeri-negeri lain terutama di bandar besar Kuala Lumpur dan di Selangor umpamanya.

Saya nampak isu Pulau Duyong itu bukan sukar sangat hendak diselesaikan tetapi semacam sengaja ia dibuat masalah.

Saya bimbang ada pihak memang tidak mahu lagi melihat perniagaan pasar malam itu berkembang di negeri tersebut tidak seperti di negeri-negeri lain. Jika benar perkembangan ini, ia amat mendukacitakan kerana di sinilah ekonomi orang Melayu bergerak maju.

Cubalah bertindak bijak, jangan bertindak sebaliknya.

Monday, July 20, 2009

PAS Terengganu perlu perubahan

PAS perlu merubah pendekatan untuk berjaya menjadi parti alternatife kepada Umno sebelum pilihan raya umum akan datang, kata seorang ahli politik dari Terengganu.

PAS katanya, tidak perlu terlalu idealisme atau suka beretorik ketika mendekatkan diri dengan rakyat kerana rakyat mahu melihat kemampuan PAS memerintah Terengganu lebih baik dari Umno selepas parti itu dilihat gagal membawa perubahan kehidupan rakyat selepas empat tahun memerintah negeri Terengganu baru-baru ini.

Ketika dihubungi pemerhati politik yang enggan namanya disebut itu beliau berkata, PAS perlu melihat dan mengkaji bagaimana seharusnya perancangan dan apakah tawaran yang perlu dibuat kepada rakyat Terengganu khususnya dalam menyelesaikan kemelut ekonomi negeri itu dan lain-lain permasalahan mereka sekaligus lebih praktikal dan menjiwai kehendak rakyat.

Generasi lama yang masih memimpin parti perlu membuat perubahan ini dan generasi kepimpinan baru perlu lebih berketerampilan dalam mendepani segala permasalahan rakyat dalam menangani isu rakyat negeri itu.

PAS tidak perlu terlalu bergantung kepada sumber petroleum dan gas untuk penyelesaian ekonomi rakyat tetapi perlu memikirkan satu mekanisme lain termasuk memanfaatkan dan mengembelingkan kepakaran yang ada di kalangan rakyat sendiri untuk menyelesaikan kemelut ekonomi dan pengangguran yang berlaku di kalangan mereka.

Kepimpinan PAS perlu menjadikan kelemahan yang lalu ketika mentadir negeri sebagai suatu pengajaran yang berguna kepada mereka untuk membuat perubahan sekaligus memberi keyakinan baru kepada rakyat negeri itu menjelang pilihan raya umum ke 13 akan datang bahawa PAS mampu berbuat sesuatu untuk kebaikan rakyat lebih baik dari Umno.

Antara kegagalan PAS ialah dalam hal mengurniakan geran tanah kekal kepada rakyat negeri Terengganu. Katanya, Umno berjaya memberi geran tanah kekal kepada rakyat Terengganu tidak seperti di zaman PAS memerintah negeri itu.

PAS terlalu bergantung kepada sumber petroleum dan gas sebagai sumber ekonomi seolah-olah PAS tidak berupaya memikirkan alternatif lain untuk mengatasi kemelesetan ekonomi negeri pada hal Terengganu mempunyai banyak sumber lain termasuk tanah pertanian, boleh dimanfaatkannya untuk menjadikan negeri itu sebagai negeri utama makanan halal (halal hub) di Malaysia.

Tasik Kenyir menjadi tasik buatan manusia terbesar di Asia Tenggara dan mempunyai sumber air yang banyak. Ia boleh difikirkan sebagai sumber import, air mineral terbesar negara ke negara-negara timur tengah atau negara lain sekaligus sebagai satu sumber pendapatan baru bagi negeri Terengganu.

Terengganu berpotensi sebagai negeri pertanian berteknologi tinggi sekiranya sumber yang ada dimanfaatkan sebaik mungkin dengan mengembelingkan segala kepakaran yang ada kerana kedudukan negeri itu lebih sesuai untuk industri berkenaan.

Amerika Syarikat sebagai negara besar dunia sudah lama memikirkan tentang bagaimana negaranya harus menjadikan industri pertanian atau makanan sebagai sumber keselamatan negara bukan sekadar untuk eksport.

Ia penting bagi mengatasi masalah keperluan makanan rakyat negeri untuk jangka panjang supaya negara itu tidak menghadapi masalah apabila bekalan makanan asasi dunia berkurangan.

Bagaimanapun tidak dinafikan mempertahankan hak rakyat seperti mendapatkan royalti petroleum dan gas merupakan suatu perjuangan yang berterusan tetapi perjuangan untuk menjaga kepentingan rakyat tidak berlegar sekadar itu sahaja.

PAS perlu menjadi parti prihatin terhadap permasalahan rakyat, menjiwai kehidupan rakyat, bukan sekadar retorik dengan melontarkan idealismenya semata-mata kepada rakyat.

Perjuangan PAS ialah menyelami permasalahan mereka dan menyelesaikannya sebaik mungkin.

Rakyat Terengganu masih melihat PAS tidak berupaya berbuat demikian dalam masa empat tahun memerintah negeri itu baru-barui ini.

Justeru agak sukar PAS mahu mengambil alih teraju pemerintahan negeri buat masa ini sekiranya perubahan tersebut tidak dibuat dengan segera.

Justeru suatu usaha drastik perlu digembelingkan dengan mengumpulkan segala kepakaran yang ada dalam parti itu untuk merancang dan menawarkan apa yang terbaik untuk rakyat bagi mengatasi segala permasalahan mereka dewasa ini.

Pengalaman ditarik balik penerimaan royalti petroleum dan gas bukan suatu perkara yang boleh membantutkan kerancakan pertumbuhan ekonomi negeri itu tetapi dengan pengembelingan tenaga dan kerja keras pemimpin dan rakyat royalti petroleum dan gas tidak seharusnya menghantui PAS sekiranya memerintah negeri itu semula di masa akan datang.

Tags