Latest News

Monday, February 7, 2011

Malaysian Public Opinion Online: Protes hasilkan natijah kehendak rakyat didahulukan

Malaysian Public Opinion Online: Protes hasilkan natijah kehendak rakyat didahulukan

Protes hasilkan natijah kehendak rakyat didahulukan

Protes di kebanyakan negara Asia Barat menyokong revolusi pembaharuan Mesir dokongan rakyat, meledakkan bom jangka bahawa tekanan korupsi pemerintah, ketidakadilan politik dan ekonomi yang membarah akibat kebejadan kuasa dan dictatorship, akan menempah titik nokhtahnya.

Mereka telah berkorban nyawa, di mana lebih 300 mangsa keganasan rejim Mubarak terkorban di jalanan bersama slogan 'Mubarak Mesti Berundur'. Penulis perhatikan dari jauh perjuangan rakyat Mesir ini melalui TV Satellite Al-Jazeera dan PRESS TV hampir setiap hari, merasai jerit perih perjuangan rakyat Mesir, Tuniasia dan Yaman untuk menukar pemerintah kuku besi mereka kepada kerajaan cetusan revolusi masing-masing.

Rakyat Mesir dan negara-negara berkenaan terhimpit dengan terlalu lamanya kuasa korupsi memerintah mereka,   ketidakadilan sosial, politik dan ekonomi dipaksa ke atas mereka tanpa kerelaan dan penuh trajis, menghasilkan kehidupan tertekan di bawah kesempitan hidup dengan harga barang tinggi melambung, undang-undang dicipta hanya untuk menjaga kepentingan pemerintah, penentang termasuk ulama diburu dan dibunuh.

Sebenarnya ini berlaku di kebanyakan negara-negara yang menjadi tali barut kuasa besar dan bersekongkol menyokong Amerika Syarikat dan Sekutu-kutunya.

Malaysia juga termasuk dalam kategori ini kalau dikaji dari segi sejarahnya. Pembunuhan Ustaz Ibrahim Libya  di Memali Kedah tidak lama dulu, suatu rentetan rangkaian aktiviti regim untuk menyahkan unsur-unsur kebangkitan rakyat menentang kerajaan secara berani dan bertanggungjawab.

Selagi unsur-unsur ini masih bertapak dalam pentadbiran kerajaan Malaysia hari ini, senario perubahan menyeluruh kepada Malaysia baru yang adil dan saksama kepada semua bangsa dan agama berteraskan prinsip menegakkan kebenaran dan menentang korupsi, ketidakadilan sosial, politik dan ekonomi tidak akan kunjung tiba.

Rakyat diperbodohkan oleh propaganda media dikuasai oleh parti pemerintah Barisan Nasional (BN), justeru suatu kesedaran kebangkitan rakyat perlu dan mesti bermula dari sekarang dengan cara menasabah dan bijaksana.

Protes satu cara yang agak berkesan melumpuhkan kekuasaan regim pemerintah, memberi tekanan maksimum kepada penguasaan parti pemerintah supaya akur dan tunduk kepada kehendak rakyat dalam waktu yang singkat.

Pilihanraya yang berjalan di atas padang yang sama rata dan tidak dimanipulasi oleh parti pemerintah adalah mustahak untuk menzahirkan kebaikan sebenar untuk negara dan rakyat.

Jika tidak, persoalan permasalahan negara dan rakyat menjadi beban tekanan ke atas kehidupan rakyat dalam segenap sudut. Rakyat tidak akan selesa dann aman dalam erti kata sebenarnya menikmati udara pentadbiran negara selagi ianya masih ditakuk lama, jika dibenarkan BN bertapak di tapuk kuasa negara.

Penulis berpendirian, negara perlu dikembalikan atas landasan yang betul sehingga hubungan antara kaum tidak dipermainkan oleh manusia yang tidak bertanggungjawab menjadi api dalam sekam, ekonomi tidak dikuasai oleh segelintir manusia dan kroni pemerintah, undang-undang dipaksikan untuk memberi keadilan kepada semua pihak dan bersifat adil dan benar.

Pemerintah pula berkeupayaan membendung penyakit sosial dan yang menjahanamkan fungsi moral rakyat dan memberi panduan sebenar sosial  bagi menghalang berlakunya jenayah dalam negara, bukan pendorong kemusnahan moral. 

Tags