Latest News

Wednesday, November 20, 2013

Tambah jumlah parti masuk Pakatan

PAS adalah parti yang berpengaruh di kalangan Pakatan Rakyat, sudah tentu kewibawaan dan pandangan pemimpinnya menjadi asas kepada strategi perjuangan politik negara ini.

  Mana-mana parti lain dalam Pakatan mesti mendengar dan mengambil kira pandangan PAS untuk apa jua dasar dan hala tujunya sebelum dan selepas Pilihan raya Umum ke 13 (PRU13) yang lalu, apabila Pakatan tidak berjaya membentuk kerajaan di peringkat Pusat, walaupun mempunyai majoriti undi popular di kalangan rakyat.

  Dalam PAS, perjuangan parti seharusnya tidak terhenti dengan usainya pilihan raya. Gerakerja parti terus berjalan seperti biasa dan tidak seharusnya ia bermusim.

  Bagi penulis, penekanan penting diberikan ialah strategi politik di mana-mana peringkat dan pentarbiyahan ahli yang lebih agresif bagi menyahut cabaran masa depan perjuangan lebih terancam dengan tertekannya kedudukan Umno/Barisan Nasional (BN) dewasa ini.

  BN akan cuba merubah senario politik negara dengan persempadanan baru untuk terus memegang tapuk kuasa kerajaan sedangkan di masa yang sama, parti itu menghadapi kemerosotan pengaruh di kalangan rakyat terutama pengundi muda celik politik yang melebihi 52 peratus sekaligus dominan dalam daftar pemilih terkini.

  Kita percaya BN mempunyai banyak pilihan strategi kemenangan terutama sekali secara kotor dan menjijikkkan tetapi Pakatan perlu mempunyai strategi kemenangan yang lebih baik dari BN untuk menghadapi PRU ke 14 akan datang.

  Strategi jangka panjang dan jangka pendek perlu bermula sekarang, tidak boleh diatur setahun atau dua tahun akan datang.

  Kejayaan empat tahun akan datang perlu bermula hari ini atau sudah lama sebelum ini. Yang paling penting ialah kesatuan atau kesepakatan pembangkang  dalam Pakatan tidak boleh dirungkai dan dipecahkan kerana kebanyakan pemerhati politik melihat ia menguntungkan BN.

  Sememangnya pun BN menunggu Pakatan hancur dan parti itu telah menyerang dan mengadu domba ikatan politik Pakatan dengan pelbagai isu termasuk isu hudud, isu perkauman sempit dan sebagainya.

  Namun sehingga hari ini BN belum berjaya memecahkan keutuhan Pakatan sebagaimana parti itu berjaya memecahkan Angkatan Perpaduan Ummah dan Barisan Alternatif (BA) di masa lalu.

  Pakatan perlu berwaspada dengan sistem persempadan baru kawasan pilihan raya kerana kebiasaannya, pembangkang akan kecundang teruk apabila BN berjaya menggunakan kuasa membentuk kawasan persempadanan tersebut dengan memperkudakan Suruhanjaya Pilihan raya (SPR) melalui kuasa politik.

  Itu strategi paling mudah Umno/BN untuk memenangi pilihan raya umum akan datang berdasarkan pengalaman politik Malaysia di masa lalu.

 Justeru untuk mengurangkan risiko kekalahan berterusan strategi politik Pakatan perlu lebih kedepan berbanding Umno/BN, manakala parti dalam Pakatan bukan sahaja kekal dengan setiakwannya tetapi perlu mencari rakan baru dari parti-parti lain termasuk memecahkan keutuhan BN yang ada hari ini.

Perlu difahami prinsip perjuangan Pakatan perlu diperkemaskan sebelum mengajak parti lain bersama dengan ikatan politik tersebut.

Monday, November 11, 2013

Kepimpinan PAS Pasca PRU13

Pertandingan memegang amanah kepimpinan dalam PAS bukan bertujuan untuk menentukan siapa yang mendapat kemuliaan itu kerana sesuatu jawatan itu bukan untuk kemuliaan tetapi untuk memikul amanah yang akan dipersoalkan oleh Allah di akhirat kelak.

  Demikian pendapat Yang Dipertua PAS Kawasan Kuala Terengganu yang baharu, Ustaz Wan Shukairi Wan Abdullah ketika menerima amanah jawatan tersebut selepas Muktamar Tahunan PAS ke 39 Kawasan itu di Markaz Tarbiyyah Kuala Ibai, Kuala Terengganu baru-baru ini.

  Muktamar Tahunan PAS Ke 59 akan bermula di Shah Alam Selangor, 20 November ini. Pertandingan jawatan penting dilihat suatu perkembangan baik, bukan untuk menjadikan PAS parti jumud.
  Ahli PAS bebas memilih siapa yang diinginkan mereka untuk menerajui parti di peringkat Pusat sebagaimana mereka juga berhak menentukan kepimpinan di peringkat kawasan dan cawangan.

  Kebebasan memilih tidak boleh disalahertikan seolah-olah wujudnya kumpulan-kumpulan dalam parti sehingga ia didakwa boleh menimbulkan perpecahan sebagaimana berlaku dalam Umno.

  Aliran, budaya pemikiran dan kecenderungan ahli dan kepimpinan dalam parti tidak boleh terkeluar dari garis panduan perlembagaan PAS. Sesiapa yang membawa pemikiran dan aliran bercanggah dengan perlembagaan sudah pasti mereka boleh dipecat.

  Kepimpinan yang sedia ada yang masih kekal istiqamah dengan PAS sudah dinilai sejauh mana mereka setia dengan perlembagaan PAS. Jika tidak jawatankuasa disiplin memanggil mereka dan kepimpinan parti di peringkat pusat sudah membuat keputusan untuk memecat mereka dari parti.

  Jika senarai mereka masih kekal sebagai calon peringkat pusat bererti mereka telah melepasi kriteria kepimpinan berasas perlembagaan parti dan roh Islam yang menjadi asas perlembagaannya.

  Apa sahaja mazhab yang menjadi amalan fiqh mereka, bukan asas tersingkirnya mereka dari menjadi ahli PAS.

  Sifat gerakan Islam ialah menerima semua aliran fiqh dan menghormati pegangan fiqh setempat supaya tidak banyak pertikaian timbul di kalangan ahli menyentuh soal amalan tersebut dan akhirnya merugikan parti sendiri.

  Kepimpinan Jamaah Ikhwanul Mislimin (Ikhwan) sedikit sebanyak mempengaruhi PAS dan kepimpinannya. Namun demikian setakat ini keunggulan dan kesempurnaan sifat kepimpinan Ikhwan masih agak berbeza sedikit dengan kepimpinan PAS dari segi keupayaan ilmu dan kepakaran.

  Sebagaimana Dr. Muhd. Mursi, seorang pemimpin yang pernah dididik oleh Ikhwan dan masih menjadi Presiden Mesir yang sah sehingga kini sebagai contoh, dia adalah seorang hafiz al-Quran, Sarjana Kejuruteraan Metalurgi dari Universiti Kaherah, Mesir dan mendapat sarjana kedoktoran dalam bidang yang sama dari Universiti Southern California.

  Bagaimana pun tidak semestinya kepimpinan Islam itu terdiri dari mereka yang semuanya perlu memiliki kepakaran dan kesempurnaan dari segi keilmuan Islam tetapi sebagai asas kepimpinan ianya agak dituntut.

  Kaedah saling lengkap melengkapi antara satu sama lain dalam kepimpinan parti perlu terlaksana apabila tiada kepimpinan yang sempurna sifatnya ditemui untuk menerajui parti di peringkat mana sekalipun selagi ia dipilih dalam lengkungan perlembagaan parti.

  Menyingkap perubahan kepimpinan parti dan mukmatarnya era 70-an hingga sekarang dari era Dato� Mohd. Asri Muda, kepada era kepimpinan ulama di bawah Yang Dipertua PAS, Yusof Rawa sehingga Presiden PAS, Dato� Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, kecenderungan ahli ialah melihat parti menjadi alternatif kepimpinan politik masa depan rakyat negara ini.

  Suatu usaha mesti digembelingkan di semua peringkat agar cita-cita dan harapan ahli dan rakyat Malaysia bagi melihat PAS sebagai gerakan politik berjaya membawa perubahan kepada politik dan ekonomi negara di masa depan.

  Pemilihan kepimpinan parti sebenarnya adalah gambaran kebijaksanaan ahli menentukan hala tuju parti untuk melihat kejayaannya lebih cemerlang  di masa hadapan. Kesilapan memilih kepimpinan masa depan boleh menggagalkan usaha murni ini atau melambatkannya.

  Ada kawasan tertentu PAS belum lagi merungkai keterikatan rakyat kepada Umno/BN. Barisan kepimpinan barulah yang merencana untuk merungkai kekusutan itu.

  Sementara tahalluf siyasi dengan parti-parti lain juga bertujuan merungkai kekusutan itu. Bagaimanapun kepimpinan parti dalam Pakatan jangan cuba menimbulkan keraguan dengan mengeluarkan pandangan yang boleh memecahkan kesatuan Pakatan.

  Asas kerjasama Pakatan perlu diperkemaskan agar tidak ada kepimpinan Pakatan mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan dan boleh menimbulkan kemarahan parti. Justeru, setiap komponen parti perlu berwaspada kerana musuh sentiasa mencari peluang untuk memecahkan Pakatan.

Tags