Latest News

Saturday, October 31, 2009

Umno bawa ajaran sesat: Politik tidak boleh masuk ke masjid

Ketua Umno Bahagian Besut, Dato' Seri Idris Jusoh dilaporkan mendakwa terdapat orang PAS mengamalkan 'ajaran sesat' mendewakan pemimpin dengan menganggap melihat gambar dan meletakkanya di bawah bantal dapat pahala.

Yang pertamanya, Idris mesti membuktikan apa yang didakwa itu benar dan membawa kes tersebut ke mahkamah syariah jika ia bukan bertujuan politik. Jika tidak, ia hanya satu fitnah yang cuba ditaburkan pemimpin Umno yang disingkirkan pihak istana itu.

Sejarah membuktikan dan kenyataan sekaligus, Umno membawa ajaran sesat, memisahkan politik dari agama. Masih ramai pemimpin Umno termasuk wakil rakyat mereka bercakap demikian termasuk menyebut politik tidak boleh dibawa masuk ke masjid.

Siapa yang mengajar ajaran seperti ini? Nabi Muhammad s.a.w. bermesyuarat menguruskan soal negara Madinah di dalam masjid Nabawiyy di Madinah. Adakah ia hanya soal agama sahaja tidak ada kena mengena dengan politik?

Bukankah dakwaan seperti pemimpin Umno itu merupakan cakap-cakap orang yang memisahkan agama dari politik yang berasal dari ajaran Keristian sebagaimana disebut dalam Injil Matta, 'biarkan politik diuruskan pemerintah (Kaisar) dan biarkan agama untuk Tuhan?"

Antara ajaran sesat dibuat oleh Umno ialah melakonkan sembahyang dua imam di Besut. Islamkah mengajar umatnya melakonkan sembahyang dan kemudian mendakwa orang PAS mewujudkan sembahyang dua imam di daerah itu satu ketika dahulu?

Peristiwa ini disiarkan bertubi-tubi dalam televisyen untuk memburuk-burukkan PAS dan memecahbelahkan umat Islam dalam era politik 1980-an.

Umno bolehlah dikategorikan satu kumpulan yang setanding dengan ajaran sesat yang lain dengan tindaktanduk dan teras perjuangan parti berkenaan jauh terpesong dari ajaran Islam.

Bagaimana boleh PAS beria-ria ingin bermuafakat dengan kumpulan atau parti seperti ini? Saya percaya PAS tidak akan bekerjasama dari segi dasar politiknya untuk membentuk kerajaan Unity Goverment (UG) sebagaimana diwarwarkan media.

Keduanya, Idris cuba mencetuskan semula insiden lama untuk terus memperlekehkan PAS dan ahli-ahlinya di Besut supaya pemisahan antara orang Umno dengan PAS terus menebal di Besut.

Umno cukup senang melihat orang PAS tidak bergaul dengan orang Umno supaya mereka tidak terpengaruh dengan PAS. Pemimpin seperti Idris dan orang sepertinya hanya mahu ahli-ahli Umno bergaul dan bermesra dengan sesama mereka sahaja jangan menghampiri program PAS dan ahli-ahli mereka.

Justeru, isu ini dibangkitkan untuk menimbulkan kejengkelan di kalangan orang ramai terhadap orang PAS.

Bagaimanapun, jika benar dakwaan itu buktikan di mahkamah terbuka termasuk mahkamah syariah atau ambil tindakan undang-undang terhadap mereka terbabit, jangan buat tuduhan sebrono.

Buktikan tindakan itu bercanggah dengan ajaran Islam sebenar dan bercanggah pula dengan enakmen syariah negeri Terengganu dan jatuhkan hukuman yang setimpal dengan kesalahan mereka, semua orang mahu melihat kenyataan itu. kalau tidak, ia suatu tuduhan politik oleh seorang ahli politik yang dipinggirkan Istana.

Ketiganya, Idris juga dianggap cuba mencetuskan gelombang lama yang diperbaharui dengan menfitnah orang-orang PAS dengan pelbagai dakwaat karut marut tanpa bukti yang sah di mahkamah.

Adanya pemimpin seperti ini dalam Umno, ia boleh merosakkan bukan sahaja Umno tetapi rakyat juga kerana orang sepertinya bertindak apa sahaja untuk menang dalam pilihan raya dan menampakkan PAS buruk di mata orang ramai.

Ia tindakan politik tidak bertamaddun dari orang yang pernah bercakap tentang tamadun ketika menjadi menteri besar dahulu tetapi tiba-tiba tamaddun kebendaan yang dibina memakan diri sendiri.

Lihatlah bagaimana Stadium Sultan Mizan Gong Badak Kuala Terengganu (tidak elok dikaitkan stadium seperti ini dengan nama ke bawah duli Tuanku kerana ia memalukan) yang dibina runtuh tidak sampai dua tahun pembinaannya. Apakah tamaddun jenis seperti ini?

Difahamkan pembinaannya dibuat di bawah projek tertentu kendalian kerajaan negeri dengan kelulusan Jabatan Kerja Raya (JKR) yang tidak banyak prosedor digunapakai kerana memerlukan pembinaan cepat untuk temasya Sukan Sukma 2008 di Terengganu namun soal keselamatan adalah merupakan asas pembinaan bangunan walau apa projek dibuat sekalipun. Itu adalah piawaian antarabangsa.

Justeru cukuplah orang seperti Idris mahu berpolitik, rakyat sudah matang dengan kerenah pemimpin sepertinya.


Jika anda mahukan barangan untuk sambutan hari jadi dan perayaan keluarga dan sambutan tahun baru atau sebagainya, sila ke laman Pelate Store

Friday, October 23, 2009

Mengapa Mursyidul Am PAS Bersuara?

Saya telah membaca kenyataan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dengan penuh teliti sebagaimana ditulis beliau dalam blog ini.

Dengan penuh rendah diri saya berpendapat kenyataan Tok Guru itu ada relevannya dan perlu ada folow up segera dan dalam erti kata lain memang perlu ada Mesyuarat Agung Luar Biasa (Khas) untuk PAS dewasa ini.

Ini kerana kadang kala sesorang itu semacam kepimpinannya sudah menjadi tepu, tidak boleh bergerak melakukan perubahan, tidak ada anjakan paradigma terutama untuk parti sendiri, apa lagi untuk negara dan rakyat seluruhnya.

Kadang kala ada kepimpinan yang tidak mengerti membuat penyelesaian sendiri dengan penuh berkesan untuk partinya apa lagi untuk rakyat dan negaranya.

Dia tidak boleh memberi contoh terbaik penyelesaian isu rakyat dan dia tidak boleh memberi keyakinan kepada rakyat bahawa dia boleh menerajui negaranya.

Ada yang berpendapat (bukan saya berpendapat) seseorang itu hanya layak menjadi tok guru di masjid dan surau mengajar kitab dan memberi fatwa, tidak layak menjadi pemimpin orang ramai.

Kita back-up pemimpin macam ni pun, kesudahannya hanya tinggal back-up, dia sendiri tidak berkembang dan mendorong rakyat akur dengan kepimpinannya.

Kita bercakap atas prinsip kenyataan dan kita tidak mahu lagi rakyat tidak sepenuh hati cenderung dan menyokong setia kita dalam politik.

Kita tidak boleh bergantung dengan gelombang, tetapi kita seharusnya mencipta gelombang. Gelombang yang sewajibnya kita cipta ialah gelombang rakyat.

Untuk itu kita mesti mengetahui apa yang rakyat mahu. Bahkan kitalah yang menasihatkan rakyat apa yang sepatutnya rakyat buat untuk selesaikan masalah mereka secara kenyataan bukan retorik mendasar sahaja.

Kita perlu kenal pasti apa keperluan parti, apa permasalahnya dan bagaimana cara penyelesaiannya, jangan pentingkan politiking diri sendiri untuk menerajui parti.

Kepimpinana parti perlu mesra rakyat, lebih dari kepimpinan Umno. Kita perlu mendahului Umno dalam menawan hati rakyat.

Kita perlu bersikap terbuka, terhadap semua lapisan masyarakat dan mendalami permasalahan mereka dan membawanya ke satu penyelesaian terbaik bagi kebaikan mereka.

Kita perlu kenal pasti tenaga kepimpinan dan kepakaran dalam parti dan kita perlu membentuk dan mengembangkannya dengan bijaksana bukan untuk kepentingan tertentu tetapi untuk perjuangan yang lebih jauh sehingga ke akhirat.

Pentadbiran parti di peringkat negeri yang kucar kacir dan tidak profesional, mendorong ahli-ahli parti bersifat negative dengan kepimpinan yang ada. Apa lagi di peringkat kawasan dan cawangan. Sudah tentu lebih buruk dari itu.

Saya tidak nampak satu penyelesaian boleh dibuat melainkan cetusan rasa Mursyidul Am PAS perlu diambil kira bahkan ia perlu direalisasikan segera.

Mohon sokongan dari semua pihak.

Terima kasih.


Suhaimi Taib

Bekas Pengarang Warta Darul Iman.

Thursday, October 15, 2009

Umno tidak relevan menyongsong zaman

Pokoknya ialah Umno memeng tidak relevan untuk perjuangan rakyat Malaysia kerana dia sebuah parti couvanist Melayu dan realtistik menerapkan kefahaman itu dalam program-program kepimpinan anjurannya bertopengkan Biro Tata Negara (BTN).

Umno mengutuk orang Cina dalam banyak program terbabit sebagaimana dilaporkan oleh peserta-peserta BTN.

Justeru itu saya tidak nampak kenapa parti cauvanis seperti ini perlu disokong berterusan kerana parti seperti inilah menjadi punca huru hara sepanjang sejarah Malaysia termasuk peristiwa 13 Mei 1969 yang fakta sejarahnya dipalsukan.

Perhimpunan Umno memutuskan usul pindaan perlembagaan tidak membawa apa-apa erti lagi bukan sahaja kepada rakyat bahkan kepada ahli-ahli Umno itu sendiri kerana ia bukan perubahan dasar yang sesuai dengan roh kehendak rakyat tetapi ia hanyalah sekadar minta simpati sokongan rakyat terhadap parti itu agar ia menang sepanjang pilihan raya diadakan.

Nah, rakyat tidak payah menyusahkan diri dan mengorbankan waktu berpuluh-puluh tahun sekaligus menggadaikan maruahnya di tangan Umno. Cukuplah dosa yang dibuat selama ini memperjudikan maruah mereka dengan mengizinkan Umno menerajui BN memerintah negara.

Beralihkan dan berubah sekarang untuk Pakatan Rakyat (PR) memerintah negara dengan dasar yang jelas dan berkesan bagi memimpin dan memacu negara ke tahap kehidupan adil dan saksama buat dekat ini.


Sokong perniagaan saya http://www.seramaesty.lelong.com.my/

Sunday, October 11, 2009

Bagan Pinang: BN masih bertahan?

Bagi saya Bagan Pinang, satu pilihanraya kecil yang memecahkan tanggapan sebenar Barisan Nasional (BN) dan penyokongnya bahawa tidak mengapa pemimpin kerajaan rasuah asalkan BN boleh menang dalam pilihan raya tersebut.

Prestasi terburuk negara di mata dunia mengenai rasuah tidak menjadi pokok utama ketentuan politik Bagan Pinang apabila Tan Sri Mohd. Isa Samad dipilih menjadi Yang Berhormat atau Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang baru bagi kawasan tersebut.

Yang peting BN menang dulu. Rasuah kemudian kira. Inilah mungkin tertanam perasaan sedalam-dalamnya di hati penyokong dan ahli Umno Bagan Pinang.

Sebenarnya rakyat Bagan Pinang tidak kisah dengan telatah pemimpin BN sama ada dia perasuah atau tidak. Atau perasuah politik tidak menjadi malasah bagi mereka kerana mereka suka rasuah politik.

Duit atau benda yang dibagi dapat kepada mereka untuk digunakan mereka dalam kehidupan seharian.

Yang mustahaknya mereka boleh hidup seperti biasa, boleh berurusan dengan kerajaan seperti biasa. Dan memang rakyat Bagan Pinang mahu teruskan kehidupan seperti biasa, tidak mahu merubah peta politik di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) tersebut.

PAS sebenarnya sudah merasakan agak berat untuk parti itu memenangi kawasan pilihan raya kecil tersebut kerana jumlah peti undi pos terlalu besar sehingga mencecah kira-kira 5,000 undi.

Undi pos tentera di Bagan Pinang menjadi undi pertaruhan besar BN kerana parti itu secara tidak langsung boleh menguasai undian dengan mengarahkan pegawai-pegawai atasan menguasai kakitangan mereka agar memberi undi kepada parti itu.

PAS tidak ada kuasa ini kerana ia parti pembangkang. BN menjadi parti pemerintah boleh berselindung di sebalik kuasanya untuk memeras ugut anggota keselamatan agar memberi undi kepada Isa, perasuah Umno dalam pilihan raya tersebut.

Jelas, terbukti Isa mendapat kemenangan besar dengan majoriti
5,435 undi.
Isa mendapat 8,013 undi, sementara calon PAS Zulkefly Mohamad Omar pula meraih hanya 2,578 undi.

Undi rosak pula 223 daripada keseluruhan 11,170 undi yang diperolehi hari ini.

Pada pilihan raya umum 2008, rekod terburuk BN, parti pemerintah itu hanya meraih majoriti 2,333 undi.

Pada pilihan raya umum sebelumnya, prestasi BN yang paling baik sejak merdeka, ia memperolehi 4,411 undi.

Dari analisa ini menunjukkan bahawa rakyat Bagan Pinang masih tertutup minda, masih terbelenggu dengan propaganda Umno dan masih terpikat dengan janji-janji manis Umno dalam pilihan raya tersebut.

Piliahan raya kecil fokus utama ialah isu tempatan. Rakyat Bagan Pinang akan tersentuh apabila persoalan setempat ada bakal pemimpin dan wakil rakyat boleh memberi penyelesaian terbaik.

Namun begitu Umno menggunakan segala kepakaran yang ada untuk menang dalam pilihan raya tersebut dengan menakut-nakutkan pengundi sekaligus menampakkan PAS dan ahli serta penyokongnya suka menimbulkan huru hara dan pengacau dalam sesuatu pilihan raya.

Yang pentingnya PAS dan penyokongnya difokuskan dengan isu itu sehingga menenggelamkan semua isu lain yang lebih penting daripada itu.

Mungkin rakyat Bagan Pinang masih terhutang budi dengan Umno/BN dan masih tidak mahu merubah peta politik mereka di kawasan tersebut menjadi antara punca kemenangan itu.

Orang Negeri Sembilan agak ketinggalan dari segi sejarah kesedaran beragama mungkin itu juga menjadi punca mengapa agak sukar juga PAS mahu menembusi kubu lawan di Bagan Pinang.

Saya tidak mahu komen lanjut tentang perkembangan isu ini kerana saya memantau pilihan raya tersebut dari jauh dan mendapat khabar dan maklumat dari berita media termasuk dari internet dan kawan-kawan yang berkhidmat di sana.

Kesimpulannya, Bagan Pinang satu isu terpencil tetapi sedikit sebanyak ia menjadi pengukur kecendurangan atau aliran politik rakyat Malaysia semasa bahawa Pakatan Rakyat (PR) perlu suatu mekanisme politik dan gerakkerja yang lebih agresif untuk menyedarkan rakyat bagi menghadapi sekaligus menguasai Malaysia dalam pilihan raya umum ke 13 nanti.

Semua tenaga pakar digembelingkan seikhlas dan secergas mungkin sehingga cita-cita berkenaan berjaya dicapai nanti.

Tags