Latest News

Thursday, January 31, 2013

Tip selamatkan diri dari disaman


1 Februari 2013
Aku masih di bilik sebuah hotel di Lahad Datu bersendirian. Sepatutnya ada teman apa lagi di kejauhan di negeri orang. Namun kebiasaan bertandang banyak negeri dan negara dunia termasuk China, India, Pakistan, Thailand dan Bangladesh, bersendirian bukan sesuatu yang menggerunkan.

  Namun keselamatan diri perlu dijaga, zaman manusia sinonim dengan insiden-insiden jenayah kadang-kadang secara tiba-tiba berlaku di hadapan mata kita. Mohon Allah beri perlindungan kepada ku dari kejadian dan insiden yang tidak diingini. Anda juga doakanlah untuk keselamatan ku di sini.

  Oh ya, semalam aku berbincang dengan rakan politik di Sabah ini untuk menghadiri dan menyampaikan ceramah dalam satu seminar media kepada petugas-petugas pilihan raya Ahad ini di satu lokasi (akan di maklumkan kemudian). Tajuk dirahsiakan buat sementara waktu untuk 'kejutan'.

  Aku menggariskan beberapa tip berguna kepada mereka antara lain, maklumat yang didedahkan kepada umum jangan membabitkan isu saman menyaman.

  Sejak akhir-akhir ini oleh kerana terlalu ghairah berpolitik, terlalu ghairah mendedahkan maklumat yang tidak diusul periksa kesahihannya terlebih dahulu, ia mengundang padah dibawa ke mahkamah oleh pihak tertentu.

Ya, memang benar tidak ada siapa pun boleh menghalang pihak yang didakwa itu mengambil tindakan undang-undang terhadap kita, walaupun apa yang kita sebarkan di internet (di Facebook- contohnya) adalah berita benar sahih dan berfakta.

  Namun kita perlu berhati-hati ketika menyebarkan maklumat dan berita kepada umum tak kiralah apa medium yang kita gunakan. Antara tipnya ialah kita perlu berlapik sedikit dalam menyebarkan maklumat ini khususnya apabila ia menyentuh peribadi seseorang atau kredibilitinya, apa lagi membabitkan pemimpin sebuah organisasi politik atau syarikat berpengaruh di sesebuah negara.

  Kita perlu berlapik dengan perkataan-perkataan, didakwa, difahamkan, dilaporkan, dikatakan, dipercayai atau sama waktu dengannya supaya jika disaman pun keputusannya tidak efektif (saman tak lekat).

  Peguam atau pengamal undang-undang tahu dalam masalah ini dan kami ketika bertugas sering dinasihatkan oleh mereka supaya menggunakan perkataan-perkataan tersebut ketika melaporkan berita khususnya apabila menyentuh persoalan yang berkait dengan peribadi seseorang.

  Laporan polis berkait dengan jenayah yang dilakukan oleh individu berpengaruh atau tidak berpengaruh dalam masyarakat adalah penting untuk dirujuk supaya berita itu ada sandaran kukuh sekaligus saman menyaman dapat dielakkan.

  Laporkan sahaja maklumat itu diambil dari laporan polis yang dibuat oleh si fulan bin si fulan dan tanya pihak polis bagaimana kesudahan kes tersebut sama ada mereka terbabit dikenakan tindakan undang-undang atau tidak.

  Jika tidak ada laporan polis jangan kita laporkan atau sebarkan berita jenayah seseorang itu kepada umum walaupun kita ada saksi kukuh melihat kejadian. Orang berkenaan mesti buat laporan polis terlebih dahulu sebelum menyebarkan maklumat itu kepada orang ramai supaya ia berada di bawah perhatian pihak berkuasa.
  Jika tidak, jangan disebut nama seseorang dan segala perkara berkaitan dengan latarbelakang seseorang itu yang dia sahaja ada orang lain tak ada, ia mengundang sesiapa terbabit mengambil tindakan mahkamah.

Sebutkan sahaja secara umum misalnya seorang pemimpin sebuah organisasi tertentu dikatakan terbabit dengan aktiviti pelacuran di Lahad Datu, Sabah. Modius operandinya sekian-sekian. Dalam kes begini orang terbabit tidak boleh mengenakan tindakan undang-undang  terhadap kita atas dakwaan fitnah kerana kita tidak menyebut latar belakang paling hampir dengannya iaitu namanya dan peranannya dalam organisasi tersebut.

  Nama organisasi berkait dengan politik tidak boleh dijadikan sandaran untuk diambil tindakan mahkamah jika disebut secara umum mereka terbabit tetapi kita perlu berhati-hati melaporkan kejadian menyalahi undang-undang yang berkait dengan organisasi yang lebih khusus dan jumlah ahlinya tidak ramai tetapi pengaruhnya besar di kalangan masyarakat dan dunia perniagaan.

  Ada beberapa tip lagi yang aku garapkan untuk seminar itu dalam slide yang akan dimanfaatkan nanti. Ia tak penting untuk disebut di sini.

Wednesday, January 30, 2013

Berubahlah untuk masa depan Sabah!


31 Januari 2013

Berbincang dengan rakan-rakan politik di Sabah dinihari (di waktu embun menitis), kesimpulannya apa yang Umno buat kepada Sabah, satu agenda menjauhkan rakyat negeri itu dari kebenaran, meletakkan mereka terus diperkudakan parti itu.

  Kehidupan rakyat dibatasi dengan kehendak dan kerakusan kuasa pemimpin-pemimpinnya, dari projek jalan raksaksa milik pemimpin tertinggi Umno sabah,  soal masjid, guru takmir, kes zina dan bersekududukan di kalangan pemimpin-pemimpin Umno dan kepimpinan masyarakat di Sabah yang didiamkan, insiden budak dirogol oleh pendatang asing dari Pakistan (penjual karpet) secara bergilir-gilir dan dibunuh serta dibuang di tepi jalan dibungkus dengan karpet, program dakwah tak kesampaian, isu infrastruktur, penyelewengan tanah wakaf untuk sekolah kepada gereja zaman pemerintahan Parti Bersatu Sabah (PBS) dahulu, pertukaran serta merta guru-guru yang dikatakan penyokong Pakatan Rakyat, kelembapan pentadbiran Jabatan Pendidikan dan isu rakyat semenanjung mesti lapor diri kepada imigresen selepas 90 hari tinggal di Sabah dan banyak lagi, mencetuskan idea untuk aku menulis memoir hari ini.

  Sambil berborak-borak di sebuah restoran di Lahad Datu awal pagi ini, terbongkar satu demi satu kebejatan pemerintahan Umno di Sabah, setiap kritikan oleh kepimpinan masyarakat di cop sebagai pembangkang, tidak dikira satu teguran membina, tidak dinilai dan dipertimbangkan untuk membetulkan kesilapan dan kerenah birokrasi pentadbiran.

  Sikap kuno pemimpin-pemimpin Umno ini mahu menjadikan Sabah terus mundur, tidak berkembang dengan idea-idea baru rakyatnya, sangat jelek, merugikan semua pihak.

  Rakyat Sabah mesti membuat perubahan. Aku fikir mereka perlu keluar dari kepompong yang dicipta Umno. Orang Sabah bukan tidak ada golongan cerdik pandai tetapi kreativiti mereka untuk memajukan Sabah terbatas dibatasi oleh birokrasi yang dicipta oleh Umno dalam pentadbiran Sabah.

  Bayangkan bagaimana surat perakuan tujuh ekar tanah di Lahad Datu diwakafkan untuk kegunaan sekolah dihilangkan, kemudian tiba-tiba tanah tersebut dipercayai sudah dimiliki oleh pihak gereja untuk kegunaan gereja. Ini berlaku zaman PBS memerintah Sabah dulu.

  Aku fikir pewaris terbabit perlu buat laporan polis, perlu ada tindakan susulan, kembalikan hak tanah wakaf sebagaimana amanah yang diberikan oleh pemilik tanah.

  Apa sudah jadi di Sabah? Begitu teruknya pentadbiran sehingga perkara macam ini didiamkan. Jangan ingat negeri ini mak bapak kita punya, kita buat sesuka hati kita.

  Ini negeri untuk rakyat Sabah, tadbirlah negeri ini dengan betul, tadbir dengan betul tidak akan merugikan sesiapa bahkan tadbir negeri cara tidak betul merugikan banyak pihak hatta pemimpin Umno itu sendiri.

  Rakan-rakan politik Sabah berkata, inilah bala yang diturunkan Allah untuk negeri Sabah disebabkan salahgunaka kuasa dan rasuah yang membarah di kalangan pemimpin-pemimpin kerajaan Sabah.

  Berubahlah, untuk masa depan Sabah dan rakyatnya. Nak tunggu berapa ribu tahun lagi baru nak buat perubahan, nak tunggu sampai kiamat? Fikirkanlah dengan akal yang waras, pertimbangkan dengan baik untuk masa depan Sabah.

Salam Memoir Dari Ku


30 Januari 2013
Dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Tawau Sabah, aku termenung bersendirian, melihat kerusi yang kaku di hadapan, lembaran surat khabar, majalah kapal terbang, terpanggil dan terdetik di hati ku untuk mula menulis memoir.
  Aku ingin menggarap apa jua terlintas dalam benak ku mengenai apa sahaja asalkan aku puas meluahkan fikiran, sekurang-kurang tercatat dalam satu lembaran tidak kira apa nilainya.
  Mungkin ada yang pandang tidak bernilai, namun aku mahu ia dicatat sebagai buah tangan kepada yang sudi membacanya.
  Aku tidak tahu, tiba-tiba sahaja ilham ini meletus dalam perjalanan ke Tawau selepas beberapa minit berlepas dari terminal Lapangan Terbang di Kuala Lumpur. Mungkin kerana aku bersendirian, walaupun ada penumpang seorang lelaki 30-an di tempat duduk tepi sekali. Tempat duduk tengahnya kosong.
  Lap Top dalam tempat letak bagasi di atas kepala. Malas pula rasanya bangun untuk mengambil lap top itu, takut mengganggu rakan penumpang itu.
  Dia duduk sebelum itu bersalaman dengan ku, aku senyum, �Suhaimi.� Aku kenalkan nama ku. Dia senyum sahaja, tak diperkenalkan namanya. Tak mengapalah, dia punya hak, tidak ada siapa boleh paksanya untuk memperkenalkan namanya.
  Aku pun tidak berhasrat untuk berkenalan dengan sesiapa dalam penerbangan itu, aku mahu rihat sedikit selepas tidur lewat semalam kerana membungkus dan timbang barang untuk ke sabah.
  Tak perlu detailkan apa barang itu semua tak mustahak. Yang penting hati ku mula terbuka untuk menulis memoir, dalam keadaan masih tercari-cari bagaimana mahu mulakannya dan masih tidak tahu apakah bentuk memoir tersebut.
Setelah menginap di sebuah hotel di Lahad Datu ( tak perlu sebut nama hotel itu, nak suruh sebut- bayarlah sebagai iklan).
  Dalam hujan lebat di luar, terdengar dari dalam kamar hotel itu, aku bersendirian aku mula membuka lap top, selepas mandi-manda dengan peralatan mandian baharu di beli semalam, selepas solat jama� dan qosor maghrib dan isyak, aku mula mengetuk keyboard menggarap apa sahaja yang terlintas dalam fikiran ku untuk memulakan memoir ini.
  Memoir yang pertama aku tulis dalam hidup ini setelah usia menjangkau 52 tahun, setelah separuh abad aku hidup di dunia ini, aku lalui pelbagai susah senang, jerit perih, menggalas pelbagai tugas, dari penanam tembakau, pelaut, peniaga kerepok, penoreh getah, wartawan, pengarang akhbar, penerbit video, peniaga pasar malam, peniaga online dan banyak lagi pengalaman yang tak terlarat nak digarapkan semuanya.
  Aku akan cuba sedaya upaya menulis dan terus menulis memoir ini untuk jadikannya satu peninggalan yang berguna untuk tatapan siapa sahaja sebelum aku tiada di dunia ini.
  Aku menulis secara bebas tanpa ada sebarang kongkongan apa-apa bentuk teknik penulisan supaya fikiran bebas berilham untuk memoir ini yang aku belum lagi menentukan tajuk dan sinopsisnya yang khusus.
  Mungkin inilah sinopsisnya jika ia mahu dinamakan sinopsis. Aku bertawakkal kepada Allah supaya Dia memberi petunjuk-Nya agar aku berjaya menulis dan terus menulis sehingga ianya dibukukan. Dan semoga menulis memoir ini menjadi kerja bermanfaat untuk diri ku dan sesiapa yang menyayangi ku selama ini sebagai sumbangan bakti untuk semua.
  Ketika menulis memoir ini aku bersendirian di rantau orang, dalam menunaikan kerja yang tertangguh diminta rakan lama sejak sebulan lalu. Rakan seperjuangan, rakan yang tiba-tiba muncul setelah sekian lama membawa diri ke Sabah ini kerana kerja juga.
  Rupa-rupanya dia mengikut perkembangan diri ku melalui facebook dan maklumat-maklumat yang banyak di internet.
  Itulah promosi dan maklumat zaman ini yang menghubungkan rakan yang telah lama berpisah menjadi akrab semula.
  Dia jemput aku di sini dengan semuanya  berbayar. Sukar juga nak cari rakan macam ni. Terima kasihlah kepada beliau atas kesudiannya menjemput aku ke Sabah ini. Nak tahu siapa dia? Tak payah tahu, semau itu bagi ku tak penting, menyusahkan rakan itu saja.
  Oh ya, inilah kali pertam aku ke Sabah, sebelum ini tak pernah menjejak kaki ku ke sini. Nampak ke terbelakang sikit kan?  Banyak tugas menunggu di sini. Aku ikut sahaja atur cara yang dia orang nak aturkan. Asalkan semua selesai. Kerja aku di sini selesai dan kerja yang dikehendaki oleh jamaah di sini selesai.
  Sebenarnya, jika sudah menjadi rezeki, tidak ada siapa yang boleh menghalangnya. Satu perkara sahaja dalam hidup ini ialah kita yakin dengan Allah SWT. Jika kita percaya Tuhan Yang Memberi Rezeki buatlah apa sahaja itulah juga keyakinan kita. Tidak berubah selama-lamanya.
  Mohonlah limpah kurnia-Nya, kita akan dapati, Dia akan memperkenankan permohonan hamba-Nya.

Salam memoir dari ku

Suhaimi

Tags