31 Januari 2013
Berbincang dengan rakan-rakan politik di Sabah dinihari (di waktu embun menitis), kesimpulannya apa yang Umno buat kepada Sabah, satu agenda menjauhkan rakyat negeri itu dari kebenaran, meletakkan mereka terus diperkudakan parti itu.
Kehidupan rakyat dibatasi dengan kehendak dan kerakusan kuasa pemimpin-pemimpinnya, dari projek jalan raksaksa milik pemimpin tertinggi Umno sabah, soal masjid, guru takmir, kes zina dan bersekududukan di kalangan pemimpin-pemimpin Umno dan kepimpinan masyarakat di Sabah yang didiamkan, insiden budak dirogol oleh pendatang asing dari Pakistan (penjual karpet) secara bergilir-gilir dan dibunuh serta dibuang di tepi jalan dibungkus dengan karpet, program dakwah tak kesampaian, isu infrastruktur, penyelewengan tanah wakaf untuk sekolah kepada gereja zaman pemerintahan Parti Bersatu Sabah (PBS) dahulu, pertukaran serta merta guru-guru yang dikatakan penyokong Pakatan Rakyat, kelembapan pentadbiran Jabatan Pendidikan dan isu rakyat semenanjung mesti lapor diri kepada imigresen selepas 90 hari tinggal di Sabah dan banyak lagi, mencetuskan idea untuk aku menulis memoir hari ini.
Sambil berborak-borak di sebuah restoran di Lahad Datu awal pagi ini, terbongkar satu demi satu kebejatan pemerintahan Umno di Sabah, setiap kritikan oleh kepimpinan masyarakat di cop sebagai pembangkang, tidak dikira satu teguran membina, tidak dinilai dan dipertimbangkan untuk membetulkan kesilapan dan kerenah birokrasi pentadbiran.
Sikap kuno pemimpin-pemimpin Umno ini mahu menjadikan Sabah terus mundur, tidak berkembang dengan idea-idea baru rakyatnya, sangat jelek, merugikan semua pihak.
Rakyat Sabah mesti membuat perubahan. Aku fikir mereka perlu keluar dari kepompong yang dicipta Umno. Orang Sabah bukan tidak ada golongan cerdik pandai tetapi kreativiti mereka untuk memajukan Sabah terbatas dibatasi oleh birokrasi yang dicipta oleh Umno dalam pentadbiran Sabah.
Bayangkan bagaimana surat perakuan tujuh ekar tanah di Lahad Datu diwakafkan untuk kegunaan sekolah dihilangkan, kemudian tiba-tiba tanah tersebut dipercayai sudah dimiliki oleh pihak gereja untuk kegunaan gereja. Ini berlaku zaman PBS memerintah Sabah dulu.
Aku fikir pewaris terbabit perlu buat laporan polis, perlu ada tindakan susulan, kembalikan hak tanah wakaf sebagaimana amanah yang diberikan oleh pemilik tanah.
Apa sudah jadi di Sabah? Begitu teruknya pentadbiran sehingga perkara macam ini didiamkan. Jangan ingat negeri ini mak bapak kita punya, kita buat sesuka hati kita.
Ini negeri untuk rakyat Sabah, tadbirlah negeri ini dengan betul, tadbir dengan betul tidak akan merugikan sesiapa bahkan tadbir negeri cara tidak betul merugikan banyak pihak hatta pemimpin Umno itu sendiri.
Rakan-rakan politik Sabah berkata, inilah bala yang diturunkan Allah untuk negeri Sabah disebabkan salahgunaka kuasa dan rasuah yang membarah di kalangan pemimpin-pemimpin kerajaan Sabah.
Berubahlah, untuk masa depan Sabah dan rakyatnya. Nak tunggu berapa ribu tahun lagi baru nak buat perubahan, nak tunggu sampai kiamat? Fikirkanlah dengan akal yang waras, pertimbangkan dengan baik untuk masa depan Sabah.