Semuanya bergantung kepada sikap kita. Jika kita bertanggungjawab dan benar apa yang kita kata, kita beramanah, jangan sampai perkara penting untuk kepentingan orang ramai kita pandang remeh kerana ada agenda tertentu di sebalik sikap kita itu.
Sama ada ia untuk kelompok masyarakat yang kecil atau kelompok masyarakat yang besar, sama ada ia untuk keluarga kita sendiri atau masyarakat kampung kita. Apa lagi negara kita. Sikap memandang enteng kepada amanah yang diberikan, satu sikap yang amat memalukan.
Semua orang ada kelemahan masing-masing tetapi dalam soal menjaga amanah, ia perlu kepada tanggungjawab atau akauntibiliti seseorang, jangan sampai sesuatu yang diamanahkan hilang atau dilupakan atau diabaikan dalam jangaan kita.
Kita kadang kala sedap menghentam dan memperlekehkan orang lain dalam masa yang sama tanpa kita sedari kita juga mempunyai sikap kurang peka terhadap memikul amanah dengan bertanggungjawab.
Sampai masanya kita berlepas tangan dari apa yang terjadi kepada kita apabila kita tidak dipilih semula memegang sesuatu amanah termasuk memegang jawatan dalam mana-mana pertubuhan.
Sesuatu yang menjadi milik orang ramai, serahkanlah kepada orang ramai, tidak perlu kita bersusah payah mempertahankannya, Jika kita sebagai pemegang amanah pulangkan sahaja harta benda orang ramai kepada mereka sebagaimana ianya diserahkan dahulu.
Jika hilang gantikan dengan serupa atau yang lebih baik daripada itu. Jika tidak, di situlah sikap tidak bertanggungjawab dilakukan kita dan ia amat mendukacitakan.