[DIKEMAS KINI, 6.00 PETANG] IPOH Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin menegaskan tidak akan meletakkan jawatannya sebagai Menteri Besar Perak walaupun telah diminta oleh Sultan Perak Sultan Azlan Shah agar berbuat demikian.
Menteri Besar baru menggantikan beliau dijangka diputuskan petang ini dan mengangkat sumpah hari ini juga.
Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kini sedang berada di Istana Kinta untuk menghadap Sultan Perak. Kenderaan yang membawa beliau tiba di istana kira-kira pukul 5.53 petang diiringi sembilan kereta.
Antara mereka yang disebut-sebut ialah Setiausaha Umno Negeri Perak, Datuk Ramly Zahari yang juga ADUN Manong ataupun ADUN Pangkor, Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir.
Dalam pada itu Ramly berkata, proses angkat sumpah bagi Menteri Besar yang baru kemungkinan diadakan esok.
"Kemungkinan esok pagi, hari ini tak sempat rasanya.
"Masalah dengan Pakatan pun tak selesai lagi, macam mana nak buat lantikan baru," katanya.
Bagaimanapun Zambry ketika dihubungi juga memaklumkan calon bagi Menteri Besar baru masih belum diputuskan.
"Setakat sekarang kita belum putuskan siapa calonnya dan saya fikir paling cepat kemungkinan esok pagi untuk Menteri Besar baru angkat sumpah," katanya.
Sehubungan itu kata Nizar, beliau akan merayu Sultan Perak agar mengkaji semula keputusannya untuk tidak memperkenankan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) dan menitahkan supaya Menteri Besar Mohammad Nizar Jamaluddin dan barisan exconya meletak jawatan berkuatkuasa serta merta.
Kata beliau, pihaknya akan merayu untuk menghadap Sultan Perak secepat yang boleh.
"Saya masih kekal sebagai Menteri Besar... esok saya akan ke pejabat saya seperti biasa," kata beliau pada sidang media di sini sebentar.
Terlebih dahulu beliau mengambil bahagian dalam mesyuarat Pakatan Rakyat, lebih dua jam, yang diadakan di kediamannya.
Turut hadir ialah Ketua Umum Pakatan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Pengerusi DAP, Lim Kit Siang.
Terdahyulu, Pejabat Sultan Perak dalam satu kenyataan hari ini berkata baginda setelah menemui kesemua 28 anggota dewan daripada Barisan Nasional dan juga tiga anggota Bebas, baginda yakin bahawa Nizar telah terhenti daripada mendapat kepercayaan sebahagian besar daripada kalangan anggota dewan.
"Sekiranya YAB Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar bin Jamaluddin tidak meletak jawatan sebagai Menteri Besar Perak bersama ahliahli MMK (Majlis Mesyuarat Kerajaan), maka jawatan Menteri Besar serta ahliahli MMK tersebut dianggap telah dikosongkan," kata kenyataan itu.