Tetapi, susahlah nak buat tak peduli kalau nampak macam nak berlaku penyucian kes rasuah dan disekat tengah jalan untuk dipaksa kembali menyokong dan yang di takhta pula begitu pendiam bagaikan kehilangan kata-kata dalam perjumpaan terakhir dengan Menteri Besar (MB) kerajaan yang dihambat sedangkan dalam perjumpaan sebelum itu ketika si MB memohon Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan, yang ditakhta begitu ceria dan dilaporkan pula berkata, "kalau macam ni, bubarlah (DUN)" (yang di takhta khabarnya memang seorang yang ceria dalam keadaan biasa dan kata-katanya selalu diselang-selikan dengan ketawa).
Susahlah nak buat tak hairan kalau biasanya dalam setiap pertemuan si MB yang dihambat itu yang kena tunggu yang di takhta dalam masa 10 atau 20 minit. Tetapi, dalam perjumpaan untuk menghambat si MB, yang di takhta sudah siap menunggu bersama-sama penasihat undang-undang negeri (LA). Yang di takhta juga enggan bercakap bila diminta beberapa penjelasan dari sudut undang-undang termasuk apa yang termaktub dalam Perlembagaan. Yang di takhta diam sahaja - bak kata orang putih, dia tak dispute. Si LA pun tak dispute apa yang dihujahkan oleh si MB (aku rasa jenuh jugak dia hafal hujah-hujah tu).
Minta tolong jangan bantai dan hentam yang di takhta kerana aku ada soft spot dan berterima kasih kepada orang tua tu sebab dia yang sign Pindaan Perlembagaan 1993 yang mengkudungkan imuniti raja-raja (tak kisahlah apa yang mendorong dia sign) yang bagi saya merupakan jasa terbesar Tun Dr Mahathir Mohamad kepada seluruh rakyat Malaysia yang berakal (ini bukan ayat perli, dengan nama Allah saya berterima kasih kepada Dr Mahathir kerana jasa terbesarnya mengkudungkan imuniti raja-raja itu).
Untungnya Umno. Sebelum ini, satu negara membincangkan perbuatan mentekedarah rasuah yang berleluasa dalam parti itu. Selepas tercetus cerita rompakan di Perak, hampir tak ada berita Umno mentekedarah rasuah.
Oleh kerana orang sudah terlupa betapa buruk lantak dan pelahapnya Umno apabila disumbat rasuah ke tekaknya dek kerana terlalu heboh dan riuh cerita merompak di Perak, siapa boleh nafikan bahawa kesempatan itu direnggut cukup-cukup oleh para pemimpin Umno yang mengidam supaya dipilih lagi untuk memperalatkan jawatan - siapa boleh nafikan mereka meliwat-liwat kesempatan itu sepuas-puasnya dengan festival rasuah mereka.
Siapa boleh nafikan para perwakilan dan mereka yang kebulur rasuah gila-gila berkenduri rasuah ketika terlupa sebentar buruk kelaku mereka kerana tumpuan diasyikkan oleh kes merompak di Perak.
Menurut bekas Perdana Menteri, jika yang menang dalam pemilihan Umno Mac ini adalah orang yang menghulur rasuah maka parti itu akan dipimpin oleh perasuah.
"Dan kerajaan Malaysia dan Kerajaan Negeri akan dipimpin oleh perasuah selepas Pilihanraya Umum ke 13 jika Barisan Nasional menang. Dan pemimpin jenis ini akan sauk duit kerajaan dan duit siapa sahaja yang berurusan dengan kerajaan.
"Saya telah berbual dengan beberapa orang yang tidak berparti dan juga yang berparti. Pendapat mereka semuanya sama - mereka tidak ingin diperintah oleh kerajaan pimpinan perasuah," kata Dr Mahathir.
Mengambilkira apa yang diperingatkan oleh Dr Mahathir itu, kata Salahuddin, PAS akan menjadikan kedua-dua pilihan raya kecil itu sebagai medan untuk rakyat mendesak para pemimpin parti yang berbudayakan rasuah itu membuat pengakuan bahawa mereka tidak merasuah ahli-ahli parti itu untuk dipilih sebagai pemimpin.
"Kita akan mengajak rakyat Bukit Gantang dan Bukit Selambau menuntut mana-mana pemimpin Umno yang datang berkempen ke kedua-dua kawasan itu supaya bersumpah di mana-mana masjid di kedua-dua kawasan tersebut bahawa mereka tidak merasuahkan ahli-ahli Umno atau mana-mana pihak untuk dipilih sebagai pemimpin.
"Yang utama sekali ialah kita akan mengajak rakyat di sana menuntut Datuk Seri Najib Tun Razak bersumpah bahawa beliau tidak merasuah sesiapapun samada ada di dalam atau di luar Umno sehingga beliau menang tanpa bertanding sebagai presiden parti itu.
"Bukan kita yang mulakan tetapi Najib sendiri yang mengajar rakyat supaya bersumpah untuk membuktikan kebenaran apabila beliau bersumpah dalam masjid di Kampung Guar Perahu dalam pilihan raya kecil Permatang Pauh dahulu bahawa beliau tidak terlibat atau mengenali wanita Mongolia, Altantuya Shaaribuu," kata Salahuddin.