KUALA LUMPUR, 7 Nov (MPO2) - Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengalu-ngalukan hasrat halatuju baru Bakal Presiden Amerika Syarikat Barack Obama antara AS dengan negara-negara dunia sambil menyifatkannya sebagai satu lembaran baru dalam sejarah kuasa besar itu.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media dalam blognya 5 November lalu.
Katanya, sokongan yang diterima bakal Presiden Amerika itu merentasi batas kaum, agama dan generasi.
"Malah mempunyai persamaan dengan apa yang berlaku pada bulan Mac lalu apabila rakyat Malaysia memilih untuk menolak rejim Barisan Nasional yang masih terikat dengan polisi usang dan gagal," jelasnya.
Katanya, keintiman Obama dengan rantau ini serta keprihatinan terhadap dunia membangun terutamanya benua Asia dan Afrika ketika prospek ekonomi tidak menggalakkan, memberi harapan baru kepada kerjasama yang lebih erat.
Menurut Anwar, negara-negara yang sebelum ini mempunyai pertikaian dengan AS melihat adanya peluang untuk meneruskan kerjasama berhubung isu dasar luar, pembangunan dan alam sekitar.
"Di bawah pentadbiran beliau, hubungan dan dialog di antara negara-negara Muslim dan Amerika Syarikat mempunyai harapan yang lebih cerah," ujarnya.
Isu-isu di Timur Tengah sememangnya memerlukan komitmen terhadap diplomasi yang konsisten, bersedia untuk menyertai dialog yang lebih bermakna dan tidak bertindak sendirian tanpa menghiraukan suara-suara serta pendapat lainnya.
"Kami berharap bakal Presiden Amerika ini akan memperlihatkan kepimpinannya berhubung isu-isu ini berbanding pentadbiran lepas yang gagal untuk berbuat demikian," katanya.
Anwar berkata, pemimpin diukur bukan melalui retorik kempen semata-mata, akan tetapi melalui dasar yang digarap serta pelaksanaannya.
"Kami mengucapkan tahniah kepada bakal Presiden; Barack Obama dan Naib Presiden; Joe Biden dan semoga mereka berjaya untuk membawa perubahan," katanya.
Iklan Istimewa
http://www.bio-asli.com/daftar_keahlian.asp?id=seramaesty
